Mengenal Makna Sebenar Kekayaan

on Rabu, 12 Ogos 2009

SEKIRANYA salah pengertian anda tentang kekayaan, adalah sukar untuk anda mencapainya, kerana pengertian atau definisinya ada kesannya. Jadi, ketahui terlebih dahulu makna sebenar kekayaan.

Kalau dulu definisinya mudah – kaya ialah banyak duit. Kaya adalah banyak harta. Salah satu atau kedua-duanya. Apabila lalu seorang kemudian diberitahu, “Dia tu orang kaya,” serta merta di dalam fikiran kita menetapkan orang itu sama ada mempunyai harta yang banyak atau wang yang banyak atau kedua-duanya sekali. Sekurang-kurangnya itulah gambaran kita. Harta yang banyak itu maknanya lebih dari untuk kegunaan sekeluarga.

Kemungkinan, kalau dulu, mempunyai lima ekar tanaman kelapa sawit sudah mencukupi untuk hidup selesa sekeluarga yang sederhana (6 orang misalnya), tetapi orang yang baru lalu tadi mempunyai 20 ekar tanah. Itu definisi kaya. Dulu orang tidak peduli apa itu ‘harta tidak mudah cair’ ‘harta mudah cair’ – tidak boleh ditukar segera kepada wang tunai. Tak peduli, cair atau tak cair, jika seseorang itu mempunyai lebih dari yang diperlukan – sahlah orang itu kaya.

Definisi tersebut kekal sama untuk masa sekarang, Cuma ada beberapa tambahan disesuaikan dengan zaman. Definisinya sama – kaya bermakna mempunyai wang atau harta yang banyak, lebih dari kegunaan menyara sekeluarga.

Dulu juga orang tak berapa memperdulikan berapa hutangnya, berbanding berapa hartanya. Maknanya orang ramai seperti tak pernah mempertikaikan ‘aset’ dan ‘liabiliti’ (hutang). Aset lebih dipandang sebab ia kelihatan. Hutang tak kelihatan, Cuma kesannya saja yang kelihatan. Kalau tanahnya 30 ekar, orang tak berapa peduli berapa hutang untuk membeli tanah tersebut kebanyakan orang dahulu membeli tanah secara tunai, tidak semestinya terus 10, 20 ekar tetapi berdikit-dikit., seekar dua terlebih dahulu.

Keadaan sekarang pula sudah berubah. Ada kaya hutang, ada kaya kosmetik. Sahabat anda boleh mengatakan dia telah menjadi jutawan. Konon hartanya sudah mencecah RM1 juta. Tetapi dalam masa yang sama, hutang untuk mendapatkan RM1 juta itu melebihi RM1 juta (termasuk ‘bunga’). Kalau ibarat dacing – hutang lebih berat dari harta. Layakkah dipanggil orang kaya? Layak, tapi kaya hutang atau kaya kosmetik. Dan yang menyakitkan hati, orang-orang begini terlalu ramai di sekeliling anda. Tujuannya adalah untuk mengejar status hingga lupa dia sebenarnya orang miskin kerana hutang melebihi harta. Hidupnya sentiasa susah, saban hari keluh kesah, mencari-cari apa saja peluang untuk mengekalkan status (kononnya).

Muka sentiasa keruh dan yang paling pasti: kata-kata bohongnya lebih banyak dari kata benar; atau mungkin sekali 99% adalah bohong belaka. Puncanya kerana mengejar status dan kekayaan kosmetik. Berbeza dengan orang yang membina – percaya bahawa status akan datang secara natural bukan melalui kekayaan kosmetik.

Definisi kekayaan ini boleh dikaitkan dengan peribahasa lama: tong kosong kuat bunyinya.” Peribahasa Melayu lama ini memang sentiasa tepat lebih-lebih lagi dalam mengenali orang yang kaya kosmetik atau kaya sebenar. Perhatikan – mereka yang kaya kosmetik sentiasa ‘memukul canang’ memberitahu umum kekayaannya. Kalau tak di mulut, pada benda. Contoh: sanggup mengikat perut untuk memiliki kereta yang selayaknya digunakan oleh orang kaya sebenar tetapi tak layak digunakan oleh mereka yang kaya kosmetik. Demi status dan memukul canang, derita terpaksa ditanggung. Hindari perangai seperti ini. Kekayaan mesti dibina bukan ditampal-tampal.

Berbeza dengan orang yang kaya sebenar. Pernahkah anda melihat orang kaya sebenar bising memberitahu kekayaannya? Kalau dia bising memukul canang bermakna dia kaya kosmetik, bukan kaya sebenar. Orang kaya sebenar enggan mengaku dirinya kaya. “Cukup makan saja.” Mereka menjawab begitu. Kalau orang kaya kosmetik menggunakan harta untuk menunjuk-nunjuk, orang kaya sebenar enggan melakukan begitu. Apa yang dimiliki adalah untuk keselesaan hidup bukan untuk menunjuk-nunjuk.

DEFINISI HARI INI

Hari ini dan akan datang, sebagaimana disebut tadi, asasnya kekal sama – mempunyai banyak wang atau harta. Cuma ada beberapa tambahan penting.

Cuma soalnya, bila kita mengatakan banyak, berapa banyak sebenarnya? Bagi setengah orang RM10,000 itu banyak. Setengah orang pula RM1 juta masih sikit. Jadi, bolehkah banyak itu dijadikan definisi? Boleh, tetapi bergantung kepada individu kerana pengertian banyak adalah berbeza mengikut individu.

Secara mudah – banyak itu boleh diberi definisi, “ mempunyai lebih dari keperluan.” Rasanya inilah definisi paling ringkas dan paling mudah. Orang yang kaya sememangnya mempunyai lebih dari yang diperlukan. Berapa lebihnya? Ia bergantung kepada individu. Dengan mempunyai lebih daripada keperluan, mudahlah menderma, melancong, tak perlu risau tentang perbelanjaan, peningkatan taraf hidup dan sebagainya.

Sekiranya harta dan wang tunai yang dimiliki melebihi RM1 juta, bolehlah bergelar jutawan. Orang kaya yang bertaraf jutawan. Tetapi, yang penting di sini ialah harta mestilah lebih banyak dari hutang. Tak guna gelaran jutawan jika hutang melebihi harta. Hutang memang tak dapat dielakkan tetapi harta mestilah melebihi hutang, jika tak mahu gelaran orang kaya kosmetik.

Selanjutnya, kita mencari makna sebalik kekayaan atau definisi kekayaan sebenar pada hari ini:
Kekayaan tersebut melimpah. Maknanya, diukur dari berapa ramai yang dapat turut sama merasai kekayaan anda. Bukan kekayaan sebenar jika anda dan keluarga sahaja yang dapat menikmati kekayaan tersebut.

Berapa banyak kebaikan yang terhasil dari kekayaan tersebut? Ramai yang tak peduli, mata dibutakan dengan wang sehingga lebih mementingkan diri sendiri tanpa perlu memikirkan kebaikan yang boleh terhasil dari kekayaan itu. Lebih malang lagi jika kekayaan tersebut lebih menghasilkan keburukan. Kekayaan sebenar mesti menghasilkan kebaikan.

Kekayaan tersebut ‘bersih’ – bukan diperolehi dari perkara yang dilarang oleh Islam. Percayalah, kekayaan yang diperolehi dari perkara dan perbuatan haram akan menyusahkan.

Menambah baik keperibadian. Kekayaan sebenar mampu menambah baik keperibadian anda dan keluarga. Jika apa yang terjadi sebaliknya, maka ia bukanlah kekayaan sebenar. Sesuatu terjadi adalah bersebab. Mesti ada sebab mengapa kekayaan itu memburukkan lagi keperibadian.

Merapatkan perhubungan. Biasa melihat orang kaya tetapi miskin sahabat, miskin jiran dan miskin segala-galanya? Kekayaan telah menjadikannya tidak disukai orang dan menyebabkan orang tidak mahu berkawan. Membuktikan itu bukan kekayaan sebenar. Mesti ada sebab musabab mengapa begitu.

Menjadikan anda lebih gembira. Biasa melihat orang kaya tetapi hidupnya tak tenteram, resah gelisah tanpa sebab dan wajahnya murung. Senyum jarang sekali apatah lagi ketawa. Kekayaan sebenar menjadikan lebih gembira. Tentu ada sebab mengapa menjadikan lebih berduka, murung.

UJIAN KEKAYAAN

Untuk menguji sejauh mana kekayaan, harta anda sekarang dan berapa banyak harta yang anda perlukan, mari kita buat ujian yang sangat mudah. Selepas ini sesiapa yang mendabik dada mengatakan, “Saya kaya…” akan sedar dari fantasi sekiranya gagal dalam ujian ini. Bahkan ujian ini boleh anda gunakan untuk orang lain sekiranya telinga anda pedih mendengar pukulan canang.

Ujian ini berbentuk soalan:

Berapa pendapatan anda setiap bulan?
Berapa harta dan wang tunai yang ada sekarang?

Ujiannya: kalau dalam 1 tahun anda tidak bekerja, tiada pendapatan, mampukah anda bertahan meneruskan hidup selama setahun itu?
Ujiannya: bagaimana kalau hanya 1 bulan sahaja tiada pendapatan? Mampukah anda menampung perbelanjaan keluarga sebulan?

Itu sahaja ujiannya. Sangat mudah. Bagi kebanyakan orang jangankan menjawab, memikirkan pun tak berani. Dan kebanyakkan orang gagal dalam ujian ini terutama mereka yang perasan dirinya kaya atau hanya sekadar kaya kosmetik. Bagi yang benar-benar kaya hasil dari kekayaan yang dibina, bukan tampalan, hanya senyum sahaja – mungkin boleh bertahan hanya selama setahun, mungkin juga hanya 6 bulan, mungkin 1 bulan sahaja.

Walaupun kaya sebenarnya bukan perhentian tetapi ia adalah proses berterusan, ujian ini boleh menentukan sama ada anda layak bergelar orang kaya atau belum layak. Ujian ini juga membantu anda menentukan berapa banyak sebenarnya yang anda perlukan. Kita tak tahu apa akan terjadi sesaat, sejam, sebulan, setahun dari sekarang. Bagaimana kalau tiba-tiba anda kehilangan pendapatan? Kerana itu dikatakan mempunyai lebih adalah lebih baik dari kurang. Kaya lebih baik.

Jika anda hanya mampu bertahan sebulan sahaja dengan harta yang anda miliki sekarang, semestinya anda perlu meningkatkan usaha agar anda mempunyai lebih dari yang anda miliki sekarang. Jangan sampai kita meminta-minta kerana kita berpeluang untuk menjadi kaya. Kita ada hak dan daya untuk menjadi kaya.Tidak mungkin kita akan senang sepanjang masa. Pasti akan ada era susah, masa mengalami kesusahan. Masanya pasti akan tiba kerana kita manusia ini sering menerima pelbagai ujian dari Allah SWT. Mungkin ujiannya sangat hebat, mungkin ringan. Sebelum tibanya saat itu, apa salahnya kita membina kekayaan bermula dari hari ini.

Kesusahan, ujian datang tanpa kita ketahui masanya. Kesusahan bila datang pasti tidak boleh ditangguh-tangguh lagi, tapi mengapa kita mesti menangguhkan usaha kita untuk membina kekayaan? Tahukah apa akan terjadi sesaat, sebulan, setahun dari sekarang?

BUAT APA KAYA!

Buat apa lepak di kedai kopi? Biasa bersama manusia-manusia kecewa di kedai kopi? Biasa bergaul dengan manusia pemalas? Biasa berkawan dengan manusia tanpa cita-cita? Atau manusia bodoh tetapi lagak pandai? Jika biasa, pasti akan terdengar ayat lazim, “Saya tak nak kaya. Susah nanti kalau kaya….” Atau, “Buat apa nak kaya…” sesedapnya mulut berkata begitu tanpa memikirkan kesan dan akibat kata-kata lazim tersebut. Kalau diri sendiri yang terpedaya dan terpengaruh tak mengapa, ini kata-kata tersebut mempengaruhi manusia-manusia lain yang mendengarnya. Kerana itu, jika anda serius mahu membina kekayaan, hindari kedai kopi dan yang sewaktu dengannya, pusat penyebaran kata-kata yang hanya merosakkan diri anda.
Lagipun, adakah anda mempunyai masa untuk lepak di kedai kopi? Bukankah lebih baik gunakan masa tersebut untuk perkara yang mampu membina kekayaan.

Agaknya, anda pun agak pelik, mengapa selama ini tak pernah terdengar, “Saya nak miskin, senang nanti kalau miskin.” Memang tak pernah terdengar. Tak nak kaya dan tak nak miskin. Bila atas pagar selalunya melompat kepada yang negatif. Selalunya memang terus menjadi miskin.

Apa yang lebih mengecewakan kata-kata itu seperti ayat penyata, kenyataan dan ajakan, mengajak siapa yang mendengar supaya menyokong dan mengikuti kata-kata tersebut. Inilah bahayanya bergaul dengan mereka yang kurang ilmu begitu. Apa tujuannya? Mungkin untuk melepaskan kecewa. Diri sendiri telah kecewa tidak dapat menjadi kaya (kerana kurang berusaha, hanya menghabiskan masa dengan berangan-angan dan lepak). Tujuan kedua supaya orang di sekelillingnya turut serta bersamanya, menjadi pengikut setia.

Buat apa nak kaya? Satu soalan pelik, seolah-olah tidak tahu menilai dan menggunakan wang. Orang-orang begini dalam masa yang sama sentiasa menghadapi kesusahan kewangan. Berhak atau tidak dia mendapat kesusahan kewangan? Memang berhak kerana dia tidak mahukan kekayaan. Secara tak langsung, sebagai lawan tak mahukan kekayaan ialah mahukan kemiskinan. Dia berhak mendapat kesusahan kerana itulah yang dikehendaki dan itulah kemahuannya.

Ini semua gangguan kepada fikiran, pemikiran dan fizikal anda yang menyebabkan terhenti perjalanan anda menuju kekayaan, sekiranya anda terpengaruh. Kebanyakan manusia memang mudah tepengaruh.

ITU TAK BENAR

Sebagai tambahan, di masa yang lain anda mendengar kata-kata dari mereka yang kurang ilmu tetapi berlagak pandai. Kata mereka, “Susah kalau kaya, nanti jadi sombong, lupa daratan, alpa, lalai, buat maksiat…” Ini satu lagi kata-kata yang boleh menyebabkan anda terpengaruh membantutkan arah dan usaha anda menuju kekayaan. Memang bahaya kata-kata orang yang ilmunya separuh tiang dan memandai, mengikut tafsiran sendiri.

Betulkah hanya orang kaya sahaja yang akan sombong, lupa daratan dan alpa? Jika anda perhatikan sekarang dan sejarah masa lalu, bukan orang yang kaya yang berperangai negatif begitu sebaliknya orang miskin dan orang yang sedang-sedang (kaya kosmetik, lebih hampir kepada miskin). Tidak juga dinafikan ada orang kaya yang berperangai negatif sebegitu, tetapi mesti diingat – hanya sebahagian kecil, kemungkinan baru lepas mengalami kejutan budaya – baru kaya mendadak, bukan kaya yang dibina dari bawah sedikit demi sedikit. Memang begitu selalunya jika kekayaan yang tidak dibina – akan terjadi kejutan bukan saja pada budaya bahkan pada perangai dan sikap.

Seperkara lagi, ungkapan itu (sama dari diri sendiri atau dari orang yang kecewa, berilmu separuh tiang, atau dari penceramah yang memandai) – adalah seperti memprogram pemikiran – bahawa bila dah kaya nanti akan sombong, alpa, lupa daratan, lalai, buat maksiat dan sebagainya. Juga seolah-olah sudah bersedia bila kaya nanti akan melakukan semua perkara negatif itu. Itu yang diucapkan, itu yang difokus dan diprogram setiap hari, maka tidak mustahil itulah juga yang akan diperolehi kalau kaya nanti. Tetapi selalunya mustahil orang yang mengeluarkan kata-kata begitu boleh menjadi kaya kerana dia sendiri yang menghalang dirinya untuk mencapai kekayaan. Kata-kata itu umpama halangan yang kekal menghalang.

Bagaimana cara untuk mengatasinya? Langkah pertama ialah menghindari dari selalu bergaul dengan orang-orang yang kecewa kerana mereka yang kecewa memang sangat rajin mengeluarkan kata-kata seumpama itu untuk menutupi kekecewaannya.

Anda akan terpengaruh jika kerap bergaul dengan orang yang kecewa. Kedua, jangan dengar kata-kata orang yang hanya tahu separuh tiang. Anda boleh terpengaruh dan akhirnya rosaklah hidup anda. Cara lain ialah:Terbalikkan kata-kata tersebut kepada bentuk positif agar ia memprogram pemikiran anda. Contoh: “Senanglah saya berbuat kebaikan, bersedekah, berbakti bila saya kaya.”Jangan mudah terpedaya dengan kata-kata. Sebaliknya tanyakan, “Bagaimana kalau kekayaan itu TIDAK menjadikan alpa, lalai, lupa daratan dan lain-lain.” Tanya begitu, rasanya yang berkata itu pun tidak ada jawapan – hanya sedap mulut berkata sahaja. Sekali lagi tanya secara terbalik: “Jadi saya perlu jadi miskin supaya tidak sombong, alpa, lupa daratan?”Kalau ada yang mengatakan, “Kita kena hidup sederhana.” Tanyakan semula, “Pada pendapat kamu, sederhana kalau ikut zaman sekarang ini bagaimana?” atau “Bagaimana yang dikatakan sederhana pada zaman sekarang?” Tanya bertalu-talu jika perlu.

Pendek kata, kata-kata yang tidak berasas itu lebih bahaya dari kemiskinan. Kalau kemiskinan itu menyakitkan dan mendekatkan kepada kekufuran, kata-kata dari mereka yang main agak-agak, penceramah yang memandai, lebih bahaya dari kemiskinan.

Jangan sampai terpengaruh. Kalau perlu bertanya, tanyalah kepada ulamak yang benar-benar berilmu. Sila bertanya, silap jawapan, anda akan turut sama melakukan kesilapan seumur hidup.

sumbangan dari http://www.sukses.my/

Gugurkah Tanggungjawab Suami Apabila Isteri Bekerja

Saya pernah membincangkan tentang prioriti suami di dalam memberikan perbelanjaan samada kepada isteri atau ibu bapa. Rentetan daripada perbincangan tersebut, banyak emel yang saya terima menanyakan tentang isu tersebut termasuklah adakah gugur tanggungjawab suami kepada isteri sekiranya isteri tersebut bekerja.

Sebenarnya, satu perkara yang saya yakin memang telah diketahui umum malah oleh segenap lapisan masyarakat termasuklah mereka yang bertanyakan soalan ini bahawa seorang suami adalah wajib menanggung segala perbelanjaan isterinya walaupun isterinya bekerja. Masalahnya ialah mereka yang mengetahui kebenaran ini enggan menerima kebenaran tersebut dan mangsanya adalah para isteri yang mengajukan emel sebegini kepada saya walaupun jawapannya telah mereka tahu dan hanya inginkan satu kepastian daripada saya.

Islam malah agama lain juga menetapkan bahawa suami adalah sebagai ketua keluarga. Apabila disebut sebagai ketua maka jelas sudah bahawa seorang suami bertanggungjawab atas segalanya. Makan minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan segala yang terangkum sebagai satu keperluan bagi isteri dan juga satu perkara sampingan tetapi menjadi perkara utama apabila dilakukan demi suami tercinta seperti rawatan kecantikan dan solekan.

Malahan, sekiranya suami seorang yang mampu tetapi masih mengizinkan isterinya bekerja, suami sewajarnya menanggung segala kos ulang alik si isteri ketika bekerja. Segala pendapatan isteri pula adalah hak mutlak si isteri dan suami, sekiranya berkehendakkan hasil pendapatan isteri bagi membantunya menanggung perbelanjaan rumahtangga, adalah dikira sebagai berhutang dengan si isteri.

Cuma, demi kerukunan rumahtangga malahan di dalam era globalisasi dan ketamadunan yang kian mencabar ini, memang satu bonus dan satu keperluan bagi sesetengah individu untuk si isteri bekerja bagi membantu meringankan tanggungan suami. Membantu meringankan bebanan dan tanggungan suami bukan bererti suami terlepas daripada tanggungjawab.

Bagi seorang lelaki yang betul-betul ada harga diri, beliau akan berusaha dengan sedaya upaya bagi memenuhi segala keperluan isteri, anak-anak dan keperluan rumahtangga tanpa mengharapkan hasil pendapatan isteri. Ingat lagi kisah suami sahabat saya yang sanggup melakukan kerja sampingan bagi menyara keluarga walaupun isterinya bekerja? Inilah lelaki sejati yang menghargai isterinya.

Namun, berapa ramai lelaki yang sanggup melakukan sedemikian. Kebanyakan lelaki sekarang ini, duit aku duit aku, duit isteri pun duit aku jugak sebab aku ni suami, isteri kena ikut kata aku. Hmmm… memang boleh punah kebahagiaan rumahtangga individu sebegini.

Menyebut tentang hasil pendapatan isteri, saya ingin mengingatkan para isteri yang bekerja, memang tak salah kita membantu meringankan beban suami tetapi jangan terlalu membiasakan suami kita dibantu sewenangnya. Hasil pendapatan kita adalah hak kita yang mutlak. Kita bebas membelanjakannya sewenangnya hatta nak beli barang kemas selori pun adalah tidak salah. Cuma, secara logiknya, sudah tentulah kita ingin membantu suami kerana suami adalah insan yang kita cintai.

Seperti saya tegaskan, tidak salah membantu tetapi ada batasan. Walaupun tidak semua tetapi kebanyakkannya para suami yang sentiasa ditolong ini akan mudah lupa diri. Rasa bebas bernafas sikit, terus segala tugas yang patutnya dipikul oleh suami telah diserah bulat-bulat kepada isteri. Suami pula, mula pasang strategi nak tubuh ‘cawangan’ terkini.

Satu perkara lagi, ingin saya ingatkan kepada para isteri, jangan sekali-kali menyerahkan segala hasil pendapatan kita kepada suami. Pendapatan kita itu adalah hak kita sepenuhnya. Sekiranya ingin membantu, berikan sekadar yang perlu sahaja. Biasakan juga menyimpan segala resit perbelanjaan yang kita keluarkan bagi membantu suami menguruskan rumahtangga. Sebabnya, kita tidak tahu apa yang bakal terjadi di belakang hari.

Bukan meminta atau mendoakan tetapi tidak salah kita bersedia menghadapi segala kemungkinan. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Mungkin kita yakin kasih suami sepanjang hayat tetapi dalam sesaat, segalanya boleh berubah. Kebahagiaan dua puluh lima tahun hidup bersama boleh musnah sekelip mata hanya apabila wujud insan ketiga. Ini yang terjadi kepada seorang klien saya. Setelah dua puluh lima tahun berkongsi dan berkorban segala akhirnya beliau ditinggalkan sendiri bersama hati yang lara. Hanya anak-anak pengubat duka. Sesal dah tak berguna.

Berbanding seorang klien lagi yang telah beringat-ingat sejak awal, hampir segala lelahnya dibayar apabila segala bukti pengorbanannya yang tidak dihargai suami dikemukakan kepada pihak mahkamah. Lantas, beringatlah, jangan dah terhantuk baru nak terngadah.

http://resipihidup-bersamasuzana.blogspot.com/2008/06/gugurkah-tanggungjawab-suami-apabila.html

Layakkah anda dihormati sebagai suami?

Mungkin ada para suami yang marah bila melihatkan topik perbincangan pada kali ini. Takkan lah tak reti lagi yang suami itu adalah ketua keluarga. Suami wajib dihormati, setiap kata suami mesti dipatuhi, mengengkari kata suami itu bererti nusyuz. Ya… saya tahu itu malah amat memahaminya tetapi jangan lupa, suami juga manusia biasa yang tidak lepas dari berbuat salah dan silap.

Walaupun memang kelemahan itu diakui ada pada setiap manusia tetapi ianya boleh dielakkan. Keengkaran mengelakkan berlakunya kelemahan inilah yang boleh menghilangkan kelayakan anda untuk dihormati sebagai suami dan inilah yang ingin saya tegaskan di dalam perbincangan minggu ini.Jangan cepat melatah! Bukan maksud saya untuk menjatuhkan harga diri lelaki bernama suami atau untuk menggalakkan para isteri agar tidak menghormati suami mereka. Tujuan saya membincangkan topik ini adalah untuk menyedarkan para suami tentang tanggungjawab yang sewajarnya mereka lakukan terhadap isteri dan anak-anak.

Bukan hanya mendabik dada mengakui… akulah suami, akulah ketua keluarga, setiap kataku adalah perintah yang perlu dipatuhi… tetapi apabila tiba kepada aspek menunaikan tanggungjawab, langsung tak boleh diharap! Habis terlungkup!!Saya yakin, para pembaca semua biasa mendengar pesanan kepada pengantin perempuan… jaga suami elok-elok, jaga makan minum dan pakainya, jangan benarkan suami mencium yang tak elok pada kita dan macam-macam lagi yang perlu isteri lakukan kepada suami.

Kepada pengantin lelaki pula… lega lah kau lepas ni, dah ada orang jaga makan minum dan pakai kau!! Tak der ler makan nasi bungkus atau pakai baju tak bergosok lagi!! Jarang sangat nak dengar pesanan kepada pengantin lelaki… jadi suami ni tanggungjawabnya berat, makan minum dan pakai isteri kena jaga, segala perlakuan isteri yang melanggar hukum agama jika tak dilarang maka suami akan sama menanggung dosa, bila dah ada anak-anak pula kena didik agar jadi insan yang berguna… berapa keratkah yang bertuah mendapat pesanan sedemikian? Inilah masalah di dalam masyarakat kita. Mengharapkan keputusan yang baik tetapi silap memberikan tunjuk ajar.Ya, sekarang ini semua bakal pengantin perlu hadiri kursus pra perkahwinan dan semua tu dah diterangkan. Persoalannya, apakah semua yang mengikuti kursus tersebut benar-benar menghayati ilmu yang disampaikan? Ada yang menghayati, mengetahui tetapi enggan mempraktikkan, inilah insan yang paling malang.

Sebagai ketua keluarga, seorang suami wajib menanggung segala keperluan rumah tangga dengan sedaya upayanya. Saya letakkan sedaya upaya bagi menegaskan bahawa seorang suami perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi melaksanakan tanggungjawabnya menunaikan nafkah dan perbelanjaan keluarga.Jika usaha telah dilakukan namun masih tidak berhasil, di sinilah rukhsah atau pengecualian yang Islam benarkan agar tanggungjawab tersebut dibantu oleh isteri sebagai rakan kongsi hidup berumahtangga. Tetapi, jangan salah menggunakan rukhsah yang diberi seperti berani memasuki gerbang perkahwinan walau tiada punca pendapatan yang dapat menjamin saraan hidup diri sendiri apatah lagi isteri. Rukhsah hanyalah bagi kes-kes seperti kehilangan kerja atau ketidakupayaan yang wujud selepas diri berupaya menyara keluarga.Bukan sekadar perbelanjaan atau sara hidup, suami juga mesti menghargai kewujudan isteri di sisi. Jaga hati dan perasaannya.

Jika kau ingin dihargai, sama jugak dengan isteri. Isteri tidak inginkan sanjungan atau limpahan berlian memadailah jika suami menghargai kasih sayangnya, menyintainya dan setia pada cintanya. Isteri sanggup berkorban segalanya termasuk menggadaikan nyawa bagi menyatakan cintanya dengan melahirkan zuriat untukmu, wajarkah semua itu kau pandang sepi sahaja? Teringat saya ketika saya dimasukkan ke wad kerana sakit untuk melahirkan anak pertama, seorang wanita meluahkan rasa hatinya tentang sikap si suami yang tidak pernah mempedulikan dirinya setiap kali perutnya mula membesar.

Bukan sekali tetapi tika itu dah empat kali dan bukan sekadar tak peduli bahkan si suami mengabaikan semua tanggungjawab malah mencari pengganti. Bila dah kempis kembali barulah si suami terhegeh-hegeh menjengah isteri. Suami macam ni memang tak layak dihormati.Mungkin ada di kalangan suami yang cakap, kami bukan mendera isteri atau tak menghargai… kami suruh dia lakukan semua kerja untuk kami malah menolong kami tunaikan tanggungjawab kepada keluarga untuk menolong isteri kami mendapatkan status isteri solehah. Oooo, kalau isteri pandai pulak kau nak jadikan isteri yang solehah, habis tu, suami tak nak jadi suami yang soleh? Berbangga menjadi suami ala-ala mat saleh?

Maaf jika ada yang rasa saya agak keras dengan perbincangan kali ini. Saya rasa perlu semua ini saya dedahkan kerana sering sangat saya dengar para suami berceloteh mengomel isteri tak buat itu, tak buat ini… yang sebenarnya memang bukan tanggungjawab isteri. Bila isteri mula menuntut hak diri dah kata pula isteri tak hormati suami sedangkan isteri dah tolong ringankan beban suami.Saya menyeru kepada semua suami dan isteri juga, ingatlah, bukan kita sahaja yang ada hati dan perasaan, jika kita ingin dihormati dan dihargai, begitu juga orang lain termasuklah pasangan hidup kita lantas tunaikanlah tanggungjawab dan kewajipan yang patut agar cinta terus mekar dan dapat kecapi bahagia di dalam hidup, insyaAllah!

http://resipihidup-bersamasuzana.blogspot.com/2008/07/layakkah-anda-dihormati-sebagai-suami.html

Suami Ketua Rumahtangga Penyumbang Nafkah Keluarga

Saya yakin, semua orang tahu pernyataan ini. Suami sememangnya sinonim dengan gelaran ketua, raja, kepala atau apa saja yang maksudnya adalah satu dan sama, menjadi ketua kepada semua ahli di dalam keluarga…. mengepalai isteri dan anak-anak. Masalahnya, berapa ramaikah lelaki yang menjadi suami dan ayah sekarang ini yang benar-benar menjalankan tugas, peranan dan tanggung jawab sebagai ketua rumah tangga???Jika anda peminat siri cerekarama siaran TV3, pasti anda masih ingat satu kisah penuh pengajaran: Episod Terakhir.

Saya bukan pengkritik filem atau drama namun jika ada kesempatan, saya memang gemar menonton cereka yang pada pendapat saya, kisah-kisah yang disiarkan itu kebanyakannya adalah lakonan semula kisah hidup yang benar-benar berlaku di dunia realiti yang dialami oleh individu-individu tertentu. Episod Terakhir adalah satu contoh realiti kehidupan kini kerana beberapa hari sebelum tersiarnya cereka tersebut, saya menerima beberapa emel yang aduan kisah emel-emel tersebut, hampir sama dengan masalah yang dialami oleh Suzila…. dilema seorang isteri apabila suami enggan bekerja.

Bukan satu dua kes tetapi dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, saya menerima 6 panggilan dan 10 emel, semuanya satu aduan, suami malas bekerja. Bukan dua bulan ini sahaja malah sebelum ini juga, dah banyak kes yang serupa. Satu kes, si isteri tetap bersabar dan masih setia memberi peluang walau telah 11 tahun si suami enggan bekerja dan hanya bersenang dengan hasil pendapatan isteri. Sabar ada batasnya, bila peluang diberi tetap disiakan, ada bukan menyenangkan malah menyusahkan maka penghujung Februari yang lalu, si isteri dengan tenang hati merelakan diri menjadi ibu tunggal.Pelik kan? Bukannya tak tau memberi nafkah dan menanggung perbelanjaan rumah tangga adalah kewajipan suami. Masih tak faham? Apa yang tak faham lagi?

Kalau tak ada ilmu agama sekali pun, adat masyarakat jelas mengatakan bahawa suami berkewajipan ke atas isteri dan anak-anak. Berkewajipan dalam erti kata perlu memberi makan minum, pakaian dan tempat tinggal yang sesuai untuk isteri dan anak-anak. Itu adalah kewajipan asas, belum dikira tanggung jawab mendidik, membimbing, memberi ilmu kepada isteri dan anak-anak. Sekarang ini pun, dah ada kursus perkahwinan yang wajib dihadiri oleh setiap bakal suami. Antara kandungan kursus ialah tentang peranan dan tanggung jawab seorang suami. Nyata dan jelas sekali antara tugas, peranan, tanggung jawab dan kewajipan seorang lelaki setelah bernama suami ialah menjaga kebajikan isteri dan anak-anak iaitu menjaga makan minum, memberikan pakaian dan tempat tinggal yang selesa serta membimbing isteri dan anak-anak ke jalan yang diredhaiNya.

Menjaga makan dan minum bermaksud memberi isteri dan anak-anak makanan yang cukup dan sesuai. Kalau anda makan nasi berlaukkan ayam goreng, isteri dan anak-anak juga perlu diberi makan nasi berlaukkan ayam goreng. Bukannya anda makan ayam goreng, isteri dan anak-anak makan bilis goreng. Bukan juga bila isteri makan ayam goreng, isteri perlu suapkan anda dengan ayam goreng. Kenapa tak boleh? Kerana tanggung jawab memberi nafkah adalah tanggung jawab anda sebagai suami. Bukan tanggung jawab isteri walaupun isteri anda berpendapatan dua atau tiga kali ganda daripada anda.

Bukan isteri tak boleh menolong suami… boleh!!! Masalahnya kebanyakan kes, bila suami ditolong, suami mula lupa diri. Beban tanggung jawab suami dipikul sepenuhnya oleh si isteri, ada suami lebih teruk dari adanya melukut di tepi gantang… dah ler makannya nak disuapkan, tidurnya nak diulik saban malam, penat isteri tak dipeduli, duit tak diberi malah diminta lagi…. ini ker lelaki yang mengaku … aku suami, aku ketua famili, kata-kataku arahan yang perlu dipatuhi… kalau perut sendiri tak mampu diisi tanpa simpati isteri, tak perlulah nak mendabik dada meninggi diri… sedarlah diri tu sikit!!Para suami perlu ingat, walau sekadar lima sen jumlah duit isteri yang anda gunakan, ianya adalah hutang yang perlu anda bayar walau isteri anda tidak menuntutnya. Kenapa dikira hutang? Kerana asasnya jelas… menyara isteri dan anak-anak adalah tugas dan tanggung jawab anda.

Tak kira berapa pendapatan anda. Tak kira walau isteri anda bekerja. Tak kira walau pendapatan isteri anda melebihi pendapatan anda. Asas fakta tetap sama, sebagai suami… anda adalah penyumbang nafkah keluarga. Jika pendapatan anda kecil, anda boleh lakukan kerja lain untuk menambah pendapatan. Jangan gunakan alasan, “Aku dah bekerja, ini saja yang mampu aku adakan maka dah lepas dah tanggung jawab aku….” Itu bukan alasannya.Jangan juga jadikan alasan, isteri bekerja dengan izin anda maka pendapatan isteri adalah hak anda.

Seperti yang pernah saya tegaskan, nilai setitis liur kurniaan Allah kepada anda tidak sama dengan nilai keringat dan tenaga yang isteri anda gunakan untuk memperoleh sejumlah pendapatan pada setiap ujung bulan. Itu jika isteri anda bekerja… jika isteri anda suri rumah pula, realitinya isteri anda wajar dibayar kerana melakukan kerja-kerja rumah… memasak, mengemas, mendidik anak-anak… hatta Islam menetapkan bahawa isteri wajar dibayar bagi setiap titisan susu yang masuk ke mulut anak anda.Sebegitu sekali tanggung jawab suami sebagai penyumbang nafkah keluarga. Berapa ramai yang benar-benar mempraktikkannya???

http://resipihidup-bersamasuzana.blogspot.com/2008/11/suami-ketua-rumahtangga-penyumbang.html

Menangani Suami Malas

Tajuk utama akhbar Utusan Malaysia bertarikh 24hb Januari amat menarik perhatian saya: Lelaki berkeluarga dilanda sindrom malas bekerja. Isu yang dibentangkan oleh Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim memang saya akui kebenarannya. Sejak hujung tahun 2005, saya menerima banyak aduan daripada para isteri mengenai sikap suami yang malas. Kalau malas membantu isteri di rumah tu, memang perkara biasa lah dan tak lah mengejutkan sangat. Masalahnya, aduan mengenai suami malas yang diterima adalah malas bekerja mencari nafkah untuk keluarga. Memang satu kes melampau. Ada satu aduan, isteri berusaha membantu suami yang hanya bekerja sebagai operator pengeluaran mencari nafkah untuk keluarga dengan membuat jualan nasi lemak.

Malangnya bila isteri mempunyai pendapatan sendiri, suami mula lepas tangan, tidak lagi memberikan perbelanjaan untuk isteri dan anak-anak. Isteri tidak patah semangat, hasil pendapatan disimpan sedikit demi sedikit untuk membuka sebuah kedai runcit. Bila kedai runcit berjaya dibuka, suami bertindak berhenti kerja. Saban hari suami meminta duit daripada isteri untuk belanja diri sendiri dan duit rokok.Itu hanya satu kes, masih banyak aduan lain yang kalau nak saya ceritakan segalanya di sini, memang boleh dijadikan beberapa buah novel. Namun, sesuai dengan tajuk perbincangan kali ini, sikap malas suami ini bukan hanya untuk diceritakan apatah lagi ditangisi oleh para isteri. Sikap malas suami perlu ditangani. Saya akui memang payah nak ubah sikap suami apatah lagi oleh seorang isteri. Menyuruh suami berubah sikap memang akan dikatakan isteri bersikap kurang ajar. Walau rumit keadaannya, bukan bererti masalah ini tidak boleh ditangani dan untuk menanganinya, isteri perlu tabahkan hati, kuatkan tekad dan semangat dan ubah sikap menjadi seorang yang agak keras hati. Kenapa perubahan sikap ini perlu? Kerana dengan perubahan sikap anda sahajalah, anda mampu mengubah sikap suami anda, insyaAllah. Setelah anda mengubah sikap anda, ubahlah pula cara anda berhadapan dengan suami yang malas.

Perlu diingat, suami boleh menjadi malas kerana sikap isteri sendiri. Ada isteri yang terlalu memberi muka kepada suami. Suami nak kerja lebih masa tak diizinkan dengan alasan risau suami beralih kasih. Bimbang dimadukan, ada isteri yang sanggup melakukan dua hingga tiga kerja untuk membantu suami menambah pendapatan keluarga. Memanglah satu hasrat dan kerja murni tetapi secara tidak langsung, sikap isteri ini menyebabkan suami akan rasa isterinya mampu memegang tanggungjawab mencari nafkah keluarga lebih baik daripada dirinya. Kalau dah begitu keadaannya, tak perlu lagilah suami bekerja.

Bagi mengelakkan sikap begini berleluasa, isteri perlu lebih tegas dan berhati-hati ketika membuat keputusan. Sebagai suami yang pastinya seorang lelaki dan terkenal dengan segala kekuatannya, biarlah suami yang bekerja lebih teruk dan kuat daripada anda. Jangan kusutkan fikiran dengan kebimbangan kasih suami beralih arah. Percayalah, jika suami anda merasa betapa perit dan sakitnya menanggung seorang isteri, dia akan berfikir seribu kali untuk mempunyai isteri lagi.Satu lagi sikap isteri yang perlu diubah bagi mengubah sikap suami ialah, jangan berikan duit belanja kepada suami walaupun suami memaksa. Perlu diingat, hasil pendapatan anda adalah hak anda sepenuhnya.

Walaupun suami mengizinkan anda bekerja, ianya bukan tiket atau alasan untuk suami anda memeras duit anda. Jika suami mengambil atau menggunakan wang hasil titik peluh anda, ianya adalah hutang yang perlu dibayar oleh suami walaupun isteri tidak menuntutnya, lainlah kalau isteri anda menghalalkannya dan perlu diingat juga, halal daripada pihak isteri adalah halal dengan rela dan sepenuh hati bukan terpaksa. Saya faham, ada kes isteri terpaksa memberikan wang kepada suami kerana suami menggunakan kekerasan. Kalau isteri tak nak berikan duit, isteri akan ditempeleng dan disepak terajang. Jika kes penderaan seperti ini berlaku, jangan fikir panjang lagi, cepat-cepat adukan kepada pihak yang berkuasa. Tidak ada celanya jika isteri berbuat demikian. Kenapa nak simpati pada insan yang langsung tak berperikemanusiaan kepada anda?Satu perkara lagi yang boleh dilakukan oleh isteri ialah, kenalpasti punca dan sebab suami enggan bekerja kerana tidak semua kes suami tidak bekerja disebabkan malas. Jika suami tidak sesuai dengan kerja yang ada, berikan dorongan dan semangat kepada suami untuk mencari kerja lain yang lebih sesuai dengan jiwanya.

Namun, sebelum menyarankan perkara ini kepada suami, kenalpasti dulu apakah kerja yang suami anda suka dan tidak bosan melakukannya. Perkara suka dan gemar ini juga perlu ditangani dengan berhati-hati. Jika yang disukai suami adalah pekerjaan yang tidak menambah pendapatan keluarga, jangan biarkan suami dengan keseronokan sendiri. Ingatkan suami dengan tanggungjawabnya sebagai suami, mencari nafkah untuk isteri dan anak-anak. Peringatan secara halus dan berhikmah.Jika agak payah, biarkan suami dengan keseronokkannya sementara tetapi anda perlu berubah sikap. Jika selama ini anda menyediakan hidangan di rumah untuk anda, anak-anak dan suami, ubahlah pula pendekatan anda. Jangan beli barang-barang dapur. Biarkan dapur anda kosong tak berasap. Ajaklah anak-anak makan di luar. Jika suami bising tiada makanan, cakap saja makanan tak dapat disediakan kerana suami tak berikan wang belanja.

Memang seperti menyerah diri untuk disakiti tetapi jika anda rasakan keselamatan anda tergugat, seperti yang saya tegaskan sejak awal, anda mampu cari jalan keluar.Ingatlah wahai wanita, betapa besar dan tingginya kasih sayang anda kepada suami, jangan sampai anda menjadi hamba suami. Anda sepatutnya disara, dijaga makan minum, pakai dan lain-lain kemudahan untuk hidup di dunia ini, anda juga sepatutnya dilindungi… jika semua ini gagal anda perolehi daripada suami, apa gunanya lagi status sebagai isteri. Fikirkanlah….

****Siaran Februari 2007

http://resipihidup-bersamasuzana.blogspot.com/2009/03/menangani-suami-yang-malas.html

Mama.. Aku Mahu Kahwin

Buat Ibu Bapa Moden
Oleh: Maszlee Malik

Antara dilemma yang dihadapi oleh anak-anak muda masakini ialah sukarnya untuk mengawal nafsu yang bergelora. Dunia maklumat yang tidak bersempadan telah menyebabkan nafsu anak-anak muda kita semakin menggila. Samada di dalam bidang hiburan, mahupun di dalam ruangan berita sekalipun, unsur pembangkit nafsu tetap berleluasa. Fenomena globalisasi juga turut menyumbang kepada pemaksaan ke atas anak-anak muda untuk menerima budaya yang dipromosikan oleh sesetengah pihak. Bagi yang lemah iman dan lemah akal pemikiran, mudahlah mereka dihanyutkan oleh arus hedonisme dan liberalisme. Bagi yang masih ingin mempertahankan keimanan serta nilai murni di dalam diri, dilemma yang mereka hadapi semakin parah.

Di antara budaya yang dipaksakan ke atas anak-anak muda kita ialah budaya "coupling” (berpacaran) dan “sex before marriage” (seks pra-nikah). Bukanlah sesuatu yang ganjil jika ramai di antara anak-anak muda akan berasa janggal dan terasing jika mendapati diri mereka tidak mempunyai teman lelaki istimewa dan teman wanita istimewa. Seseorang remaja akan terasa seperti makhluk asing di bumi jika mereka tidak bergaul bebas dengan rakan-rakan berlainan jantina.

Bagi anak-anak yang dibesarkan di sekolah-sekolah agama atau madrasah, mereka mungkin masih lagi selamat. Keselamatan ini, walau bagaimanapun akan segera hilang apabila mereka mula melangkah ke gerbang-gerbang IPT. Tidak kiralah IPTA mahupun IPTS. Kebebasan dan juga pengaruh rakan dan sekitaran akan segera membuatkan mereka menerima kejutan budaya. Samada mereka akan larut dan terheret oleh pengaruh sekitaran, ataupun mereka akan menjadi begitu rigid, keras dan tidak bertolak ansur. Inilah realiti kehidupan anak-anak muda di IPT-IPT.

Sepertimana yang pernah diutarakan sebelum ini, solusi bagi fenomena yang begitu menggila ini ialah “nikah”. Hayat para pelajar di IPT tidak patut disia-siakan. Waktu yang mereka habiskan untuk berpacaran dan juga melayan lamunan, akan lebih terjaga jika mereka telah bernikah. Segalanya akan menjadi halal, dan masa tidak akan terbuang sia-sia. Segalanya mendapat keberkatan, dan tiada kerungsingan dan juga ketidak tentuan perasaan. Jika persoalan natijah selepas pernikahan yang menjadi persoalannya, maka solusi “nikah khitbah” telah dicadangkan.

Mudah sahaja, selama hayat mereka di IPT, mereka tidak perlu mengandung, tidak perlu melahirkan anak, tidak perlu untuk tinggal di dalam sebuah rumah yang khusus, dan tidak perlu menjalani kehidupan seperti pasangan suami-isteri yang mempunyai pekerjaan tetap. Mereka hidup sebagai suami isteri di dalam segala keterbatasan yang ada, yang penting hubungan tersebut halal dan mereka tidak melakukan maksiat.

Walau bagaimanapun, ide ini tidak semudah yang diutarakan. Kebanyakan komen dan respon yang diterima adalah bersifat negatif. Bukanlah para remaja IPT yang bersifat negatif, tetapi ibu bapa yang bersikap negatif. Memang benar, tanpa sokongan ibu bapa, idea nikah khitbah untuk menyelamatkan anak-anak muda daripada berzina ini tidak mudah. Ibu bapa di Malaysia masih lagi mempunyai pemikiran yang kolot dan klasik. Mereka masih lagi menggunakan sifir lama dan lapuk. Mereka sanggup menjunjung adat yang kolot walaupun terpaksa membiarkan anak-anak dara dan teruna mereka bergelumang di dalam dosa.

Jika hendak berkahwin, tunggu selepas habis belajar. Jika hendak kahwin, tunggu sehingga mendapat pekerjaan tetap. Jika hendak kahwin, tunggu sehingga mendapat ijazah. Bagaimana pula sementara menunggu hendak habis belajar dan hendak mendapatkan pekerjaan tetap?
Si teruna dan dara tiap-tiap hari bersua muka. Peluang untuk bertemu dan bersama itu jauh lebih besar daripada tidak bertemu. Dorongan medi massa, media eletronik, persekitaran dan juga budaya setempat mendorong mereka untuk terus bertemu. Oleh kerana kita di negara yang mana rakyat masih lagi bebas untuk melakukan maksiat, maka peluang untuk melakukan maksiat itu terbuka lebih luas. Apakah ibu bapa yang kolot dan mundur pemikiran itu mengira anak-anak muda mereka malaikat yan tidak punya nafsu?, atau mungkin mereka anggap anak-anak muda mereka mempunyai “fire wall” yang begitu utuh?, atau juga mereka sangkakan mereka boleh mengawal “nafsu” anak-anak muda mereka dari jarak jauh (remote control)?

Bagi ibu bapa, sepatutnya mereka berusaha memahami realiti dan tuntutan semasa. Kita hidup di zaman yang dipenuhi dengan kefasadan dan keruntuhan moral. Peluang untuk melakukan dosa di bumi Malaysia ini jauh lebih banyak daripada peluang untuk menghindarinya. Ruang-ruang di media sentiasa diwarnai dengan warna nafsu dan juga maksiat. Anak-anak mereka yang tinggal jauh dari pandangan, sedang mengecapi kebebasan yang tidak terbatas. Tanpa iman, tanpa nilai dan tanpa sifat malu yang tinggi, mereka bebas melakukan apa sahaja. Jangan tertipu dengan perwatakan mereka di rumah!. Anak-anak muda akan mempunyai sikap dan peribadi yang berbeza sewaktu di rumah dan sewaktu berada bersama ahli keluarga.

Bahkan, dalam banyak keadaan, mereka mempunyai sikap yang berbeza sewaktu di hadapan guru atau para pensyarah. Ingatlah, syaitan tidak akan melepaskan peluang untuk mendorong anak-anak Adam untuk melakukan perkara yang terlarang. Itulah tugas syaitan. Jika para ibu bapa mempunyai tahap kepercayaan yang begitu tinggi kepada anak-anak mereka, itu adalah sesuatu yang baik.

Namun, sangkaan yang baik semata-mata tidak cukup. Mereka perlu memahami realiti, anak-anak itu tinggal jauh di mata. Suasana persekitaran tidak membantu. Tarikan naluri orang muda adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, hatta di kalangan siswa dan siswi institusi pengajian berorientasikan agama. Jikalaulah mereka sudah mempunyai perubahan pada tingkah laku dan perlakuan seharian, maka selidikilah. Jika mereka sudah mempunyai pasangan, berbuallah mereka dengan cara yang matang dan rasional. Ingatlah, mereka sudah besar, mereka ingin dilayan seperti orang dewasa juga. Kadar intelektual mereka perlulah dihargai.

Gunakanlah cara sehikmah yang mungkin untuk melakukan “penyelidikan” terhadap anak-anak muda. Jikalau anak-anak muda menyuarakan keinginan untuk bernikah walaupun mereka masih lagi menuntut di kampus, jangan cepat melenting. Yakinlah, keberanian mereka untuk menyuarakan permintaan tersebut menunjukkan kematangan mereka. Keberanian mereka untuk membuat permintaan sedemikian rupa menunjukkan mereka ingin menyelamatkan iman dan akhlak.Yakinlah, jika mereka memilih untuk tidak meminta izin untuk berkahwin mereka mampu. Jika mereka memilih untuk tidak berkahwin dan meneruskan onar mereka sehingga ke tahap yang serius pun mereka mampu.

Maka, jika mereka menyuarakan pendapat dan meminta izin, pertimbangkanlah ia dengan rasional, kematangan dan gunakanlah neraca keimanan. Mereka bukanlah anak-anak kecil lagi. Mereka juga bukannya terburu-buru ataupun terlalu mengikut nafsu. Yakinlah, apa yang mereka suarakan itu adalah bertitik tolak dari keimanan dan ketaqwaan serta kesungguhan mereka untuk menjaga nama baik keluarga.

Apakah langkah seterusnya? Berbincang dengan mereka. Rasionalkan pemikiran mereka untuk melihat sesuatu dengan pandangan yang jauh. Dorong mereka untuk merancang dan bersikap realistik. Timbulkan segala kemungkinan dan kebarangkalian yang bakal mereka hadapi dan bantu mereka untuk mencari solusinya. Bukakan pemikiran mereka untuk melibat sudut-sudut yang mungkin mereka terlepas pandang. Apa yang lebih penting, berikan peluang untuk mereka mengutarakan pendapat-pendapat dan pandangan-pandangan mereka. Perlu diingatkan sekali lagi, mereka telah pun dewasa dan pemikiran mereka bukan lagi pemikiran anak-anak.

Seperkara yang penting juga, janganlah terlalu membuat keputusan melulu. Ada sesetengah ibu bapa yang langsung mencemuh, memperlekehkan dan terus menutup peluang untuk anak-anak mereka bersuara. “Dah gatal!”, “Belajar dulu!”, “Dah tak tahan lagi!”, “Awak tu muda lagi!”, “Janganlah hampakan harapan mak!” dan pelbagai ayat yang berbentuk cemuhan, prejudis dan juga mematikan hujah tidak akan membantu. Sekali lagi perlu diingat, mereka bukan lagi anak-anak kecil.

Setelah anda mendengar pendapat mereka, yang sebaiknya berkenalanlah dengan pasangan anak anda itu. Perbincangan di antara si ibu dan si ayah sebelum memberikan apa-apa keputusan kepada si anak amat penting. Sekali lagi perlu diingatkan, jangan emosional dan jangan terburu-buru di dalam membuat keputusan.Ingatlah, anak-anak muda zaman kini hidup di dalam persekitaran yang serba mencabar. Walaupun kita telah mengawal sebaik mungkin di rumah, namun apa yang mereka dapat dari media, dari rakan-rakan dan juga dari tempat pengajian jauh lebih banyak.

Di dalam dunia global, tiada sesiapa yang dapat menghalang orang lain daripada mengakses kepada apa-apa maklumat. Persekitaran dan juga suasana yang serba moden dan mencabar ini akan sentiasa membawa kepada pengingkaran terhadap perintah Tuhan. Satu-satunya cara untuk anak-anak muda yang telah mula terjebak dengan “cinta” dan juga “pacaran”, adalah dengan bernikah. Mungkin ibu bapa akan terfikirkan mengenai prestasi pembelajaran anak-anak yang bakal merudum selepas perkahwinan. Mungkin juga ada di antara ibu bapa yang begitu skeptik dan merasakan bahawa anak-anak mereka tidak akan dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran selepas perkahwinan. Sesuatu yang biasa juga bagi ibu bapa yang mengandaikan seribu satu andaian liar.

Bagi yang mempunyai anak-anak perempuan, maka mereka akan terfikirkan, Bagaimankah nanti anak-anak mereka akan dapat membahagikan masa untuk pelajaran dan melayan suami, Mereka juga terfikir, bagaimana pulakah jika anak mereka mengandung?, melahirkan anak?
Bagi mereka yang mempunyai anak lelaki pula terfikirkan, bagaimanakah anak mereka berupaya menanggung anak orang lain. Mereka juga terfikirkan, mampukah anak-anak mereka membimbing dan menjaga “anak gadis” orang. Akhirnya, kesemua andaian-andaian dan prejudis tersebut diterjemahkan kepada penolakan. “Tunggu sehingga habis belajar!”, “Kami tak menolak pilihan awak, Cuma awak kena tunggu sehingga dapat kerja yang baik!”.

Kesemuanya menjadi jalan keluar kepada ibu bapa yang malas berfikir, ataupun berfikiran kolot ini. Jalan mudah diambil demi memudahkan kerja-kerja mereka. Akhirnya, sang anak yang tidak dapat melawan nafsu pun terus berpacaran, dan bergelumang dengan dosa “khalwat” dan berpegangan tangan. Bagi yang tidak mempu membendung nafsu, akhirnya mereka terjerumus ke lembah zina…kesemuanya kerana pemikiran kolot si ibu dan ayah.

Ibu bapa moden perlu berfikiran terbuka. Adalah lebih baik mereka berkorban material dan tenaga demi menjaga kesucian susur galur keluarga mereka. Sepatutnya ibu bapa moden bersikap konstruktif dan bukannya negatif. Apalah salahnya jika mereka membantu anak-anak yang ingin berkahwin itu dari segi material. Berikan juga sokongan moral. Berikan sokongan dan bimbingan. Berikan tunjuk ajar, dan berikan mereka “fulus”. Bukankah mengkahwinkan anak perempuan di usia muda mereka merupakan sunnah?, bukankah membantu anak-anak untuk mengelakkan diri dari melakukan maksiat adalah wajib? …Fikirkan!

Hidup manusia telah berubah, gaya kehidupan juga berubah, teknologi juga berubah, maka sudah sampai waktunya para ibu bapa moden juga berubah. Pemikiran yang kolot serta terlalu mengongkong tidak akan membantu anakanak muda mereka. Pemikiran yang terlalu liberal dan tidak kisah juga membahayakan. Apa yang kita perlukan adalah pemikiran yang Islamik dan realistik. Kita juga mahukan pemikiran yang berdasarkan “fiqh al-Waqi’” (fiqh realiti). Biarlah minda kita selari dengan zaman.

Mengapa Gagal Merancang Kewangan?

Salam sejahtera.

Hari ini saya ingin berkongsi satu info berkaitan kewangan. Mengapa ramai di antara kita yang tidak mengecapi kejayaan di dalam mengurus kewangan? Kita selalu mengeluh bila berbicara soal duit - sentiasa tidak cukup dan bagaimana hendak menjadi kaya. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kita gagal dalam merancang kewangan kita:

Tiada Ilmu Pengetahuan

Tiada ilmu pengetahuan atau dengan lebih tepat lagi tiada daya untuk mencari ilmu. Ramai di antara kita yang malas untuk membaca terutamanya tentang kewangan. Maka kita seharusnya menimba seberapa banyak ilmu kewangan dan cara terbaik adalah dengan banyak membaca mengenai ilmu tersebut. Cari bahan bacaan yang sesuai dan mudah untuk anda fahami.

Gagal Untuk Merancang

Berapa ramai yang menulis 'goal' atau objektif hidup masing-masing? Orang yang menulis objektif mereka adalah orang yang mempunyai arah tuju, mereka mahukan keputusan (result orientated), bermotivasi dan mereka adalah orang yang berfikiran positif. Mereka inilah orang yang berjaya. Tanpa perancangan amatlah mudah untuk kita terumbang-ambing mengikut arus. Jika kita menulis objektif kita terutamanya mengenai ke mana arah tuju kewangan kita, ia dapat menolong kita memberi penumpuan ke arah hala tuju kita dan apa yang sepatutnya kita capai.

Gagal Menggunakan Masa Secara Efisien (poor work habits)

Masa sebenarnya adalah seperti duit - di mana kita boleh membelanjakannya atau melaburkannya untuk memperbaiki diri kita. Apabila kita membazirkan masa sebenarnya kita membazirkan diri kita sendiri. Buatlah perancangan apa yang harus kita capai hari ini dan seterusnya.

Gagal Melihat Masa Hadapan (lack of foresight)

Seorang yang berjaya akan dapat melihat apa yang bakal terjadi di masa hadapan. Ada di antara kita yang melihat visi sebagai satu mimpi atau angan-angan. Tanpa angan-angan tidak mungkin kita mengecapi apa yang kita idamkan. Lainlah jika kita mendapat 'durian runtuh' atau 'duit yang jatuh dari langit'. Maka orang biasa seperti saya ini hanya akan mendapat duit dengan bekerja. Orang yang berjaya akan cuba untuk mendapatkan pendapatan yang berganda dengan melaburkan duit mereka di dalam pelaburan seperti amanah saham, akaun pelaburan mudharabah atau melabur terus di pasaran saham.

Tidak Berani Melakukan Perubahan

Ramai di antara kita yang tidak berani untuk melakukan perubahan. Kita harus berani untuk berubah dan mengambil risiko. Berani untuk membuat yang lain dari yang lain. Orang Melayu terutamanya sentiasa dibelenggu dengan perasaan takut dan tidak berani mencuba sesuatu yang baru. Orang yang berjaya adalah orang yang berani mengambil risiko terutamanya dalam hal kewangan mereka.

Pengurusan Wang Yang Lemah

Ramai di antara kita terlalu banyak meminjam duit, dan ramai juga di antara kita yang berbelanja mengikut nafsu. Sikap ini sangat tidak baik dan anda perlu mengawal perbelanjaan dan kawal nafsu. Belanjalah wang hanya untuk membeli barang yang perlu sahaja.

Sikap Malas dan Pesimis

Orang yang berjaya juga adalah seorang yang optimis. Seorang yang pesimis susah hendak berjaya kerana sentiasa ada alasan bila membuat sesuatu.

Tidak Mengambil Perlindungan atau Insurans

Ramai juga di antara kita terutamanya orang Melayu yang tidak mengambil perlindungan atau insurans untuk mengatasi keadaan yang tidak dijangkakan. Malahan di dalam al-Quran, surah Yusuf (ayat 67) "Nabi Ya'qub berkata: "Hai anak-anakku janganlah kamu (bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang dan masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlainan;namun demikian aku tiada dapat melepaskan kamu barang sedikitpun daripada (takdir) Allah""

Tidak Ada Disiplin

Menabung atau melabur memerlukan disiplin yang tinggi. Janganlah bila kita lihat ada duit sikit dalam akaun pelaburan atau simpanan terus mahu pergi 'shopping' pula, tambahan pada masa sekarang terlalu banyak gedung membeli-belah dan kedai-kedai yang menawarkan jualan murah.

Suka Bertangguh

Sikap suka bertangguh apabila membuat sesuatu menjadikan seseorang itu sukar untuk menabung. Orang muda akan berkata "Ahh... banyak masa lagi. Nanti dululah, nak enjoy". Yang berumur 30-an akan berkata "Nanti dululah, ni banyak nak pakai duit, anak kecil lagi, nak bayar duit rumah lagi". Dan yang berumur 40-an berkata "Susahlah, tak cukup nanti, ni anak-anak nak masuk universiti. Nak pakai duit". Dan bila dah menjangkau 50-an mereka berkata "Sudah terlambat...sudah tiada masa lagi untuk menabung dan melabur di dalam simpanan dan pelaburan untuk jangka panjang". Masa yang sesuai tidak akan kunjung tiba. Rasulullah S.A.W. di dalam sabdanya: "Demi masa gunakan lima sebelum lima perkara; masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk, dan masa hidup sebelum mati" Maka hari ini adalah masa yang paling sesuai untuk merubah dan memulakan tabungan atau pelaburan anda. Mulakan sekarang!

Sumber:Majalah Nur (November 2002)
Bersama Pn. Hajah Rohani Datuk Mohd. Shahir
(Hijrah Strategic Advisory Group Sdn. Bhd.)

Posted by Salmi Rafiza Mat Saad

Lelaki Malas



Keluarga adalah agen sosialisai yang sangat penting bagi membentuk norma, nilai, kepercayaan, bahasa, ideologi, artifak, kemahiran hidup dan emosi seseorang (Che Hasniza,2006). Pada masa yang sama, institusi keluarga berperanan membetulkan minda dan menentukan sikap yang dikehendaki oleh ahli keluarga yang lain.


Justeru itu, malas adalah kesan daripada proses sosialisasi yang diterima oleh seseorang sejak kecil dan amat bergantung kepada bentuk sosialisasi tersebut. Pendidikan adalah elemen utama yang menjadi daya penggerak kepada perubahan sikap dan tingkah laku manusia. Seorang pelajar yang dikatakan malas, akan bertukar menjadi pelajar yang bijak dan rajin jika diberi perhatian dan kata-kata rangsangan serta melalui proses pengubahsuaian yang berbagai-bagai.


Bermula dari menetapkan matlamat dalam belajar, beliau juga diminta mentaati disiplin masa dan melaksanakan kemahiran-kemahiran yang wajib bagi seorang pelajar. Kaedah latihan dan pembelajaran yang dilalui oleh pelajar ini akhirnya akan membentuk tabiat dan budaya hidup sehinggalah beliau bekerja kelak. Keadaan lelaki berkeluarga yang malas bekerja ada kaitan dengan proses latihan yang dilalui dalam keluarganya dan artikel ini akan membincangkan bagaimana hubungan kekeluargaan yang dibina menjurus kepada pembentukan watak lelaki malas.


Kajian yang dilakukan oleh Cowdery dan Knudson-Martin (2005) berkaitan pengukuhan peranan keibubapaan dalam interaksi seharian boleh menjelaskan tentang peranan dan bentuk asuhan boleh membantu hubungan yang lebih baik bagi memantapkan perkembangan mental dan fizikal anak-anak. Mereka telah memperkenalkan dua model yang dapat memberi penerangan kenapa terdapat perubahan dalam peranan keibubapaan yang menyebabkan beberapa perubahan kepada anak-anak.


Model berkenaan ingin menjelaskan bagaimana peranan (tasks) dan hubungan (relationship) memainkan fungsi untuk membentuk nilai, sikap dan kecenderungan ibu dan bapa terhadap anak mereka.Model pertama ialah keibuan sebagai bakat gender (Mothering as a gendered talent). Model ini menyatakan hubungan ibu dan anak lebih kuat dan mesra berbanding hubungan bapa dan anak. Ibu membina hubungan secara langsung dan diperkukuhkan melalui empat proses iaitu;


(a) kepercayaan bahawa ibu mempunyai hubungan semula jadi dengan anak,

(b) bapa yang mengalah,

(c) ibu mempunyai masa yang lebih banyak bersama anak, dan

(d) ibu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang berterusan.


Model kedua ialah keibuan sebagai kerjasama yang disedari (Mothering as conscious collaboration). Model ini yakin kesaksamaan sangat penting dalam keluarga. Peranan bapa membangunkan anak-anak seterusnya membina hubungan yang mesra dengan mereka. Asas kepada model ini ialah;


(a) tanggungjawab dikongsi bersama,

(b) perbezaan biologi boleh diganti (dalam melaksanakan peranan),

(c) bapa memainkan peranan,

(d) bersedia untuk belajar, dan

(e) ibu tidak mencelah.


Hasil kajian ke atas kedua-dua model ini menunjukkan model kedua lebih banyak diamalkan oleh pasangan muda (kurang dari lima tahun perkahwinan). Satu alasan yang kukuh ialah peranan keibuan ini memberi banyak kuasa kepada kedua-dua pihak untuk meningkatkan hubungan dan komunikasi sesama sendiri dan dengan anak-anak.


Keibuan (mothering) tidak harus disamakan dengan keibubapaan (parenting) kerana keibuan adalah peranan dan tanggungjawab yang harus dilakukan dari sudut ibu yang mana bapa juga turut menyumbang kepada kejayaan keibuan. Walau bagaimanapun kedua-dua aspek ini sangat memberi kesan ke atas bentuk komunikasi keluarga dan hala tuju hubungan sesebuah keluarga.


Rosle Abbas (2001, dalam Che Hasniza, 2006) menyatakan masalah sosial di kalangan remaja semakin meruncing kerana komunikasi keluarga yang tidak berkesan dan menyumbang kepada ketidakfungsian keluarga. Dalam erti kata yang berbeza, masalah akan timbul jika institusi keluarga tidak dapat diuruskan dengan baik dan salah satu daripada ketidakfungsian berkenaan adalah komunikasi keluarga. Masalah ini akan merebak ke isu-isu lain yang lebih besar seperti masalah sosial dan lelaki malas bekerja.


Bukan sahaja lelaki berkeluarga malas bekerja, terdapat juga wanita yang berkeluarga malas bekerja dan menyerahkan keperluan hidup kepada lelaki. Sama ada lelaki atau wanita yang malas bekerja, pola komunikasi keluarga mempengaruhi cara gaya mereka membesar. Che Hasniza (2006) mengklasifikasikan pola komunikasi ini kepada dua iaitu orientasi perbualan dan orientasi konformiti.


1. Orientasi perbualan

Pola jenis ini memberi kebebasan untuk meluahkan idea, perasaan dan lebih bersifat terbuka. Anak-anak yang melalui kaedah ini dapat membina pandangan mereka sendiri mengenai kehidupan dan melihat masa depan adalah cerah. Mereka membesar dengan memberi minat yang mendalam kepada politik, hubungan luar, pendedahan kepada surat khabar, perbualan politik atau gosip. Komunikasi jenis ini memperlihatkan kebebasan aliran maklumat dan menganggap peluahan fikiran adalah perlu. Tolak ansur menjadi kunci kepada kejayaan pelaksanaan komunikasi dalam keluarga yang mengamalkan pola ini. Ibu, bapa dan anak melihat keharmonian lebih diutamakan daripada rasa tidak puas hati dan persengketaan.


Mereka boleh berbincang secara terbuka dan pada masa yang sama menghormati status dan menjaga maruah setiap ahli yang ada. Perkembangan secara sihat dapat memberi ruang dan peluang kepada anak-anak untuk memilih dan membuat pilihan secara bebas setelah menerima pelbagai pandangan dari ibu dan bapa. Juga tidak dikongkong untuk membuat satu-satu pilihan sebaliknya keputusan berkenaan adalah secara rasional dan mempunyai asas yang kukuh.


Bagaimanapun pola ini mempunyai kelemahan dari aspek melindungi ahli yang terkeluar daripada nilai-nilai yang disepakati dan dihormati bersama. Ini jelas berlaku kerana banyak maklumat yang diperolehi bermakna banyak alasan yang boleh dikemukakan untuk melindungi ahli yang tidak sehaluan.


2. Orientasi konformiti

Pola jenis ini menjurus kepada peranan kuasa yang ada pada ibu bapa digunakan sepenuhnya untuk menentukan hala tuju dan peranan anak-anak pada masa hadapan. Aspek yang diberikan ialah kepatuhan pada arahan yang menjadi elemen kawalan terkuat bagi ibu bapa untuk mengawal pemikiran, sikap dan tingkah laku anak-anak. Justeru, pola ini lebih menekankan nilai-nilai tradisional, kepatuhan pada kuasa dan seboleh-bolehnya cuba untuk mengelakkan konflik yang boleh menggugat keharmonian dalam rumah tangga. Autoriti adalah kunci kepada pola komunikasi konformiti kerana ibu bapa merasakan mereka lebih layak untuk menentukan apa yang harus dilakukan oleh anak-anak.


Kebaikan dan keburukan penggunaan autoriti sangat bergantung kepada kebijaksanaan ibu bapa mengendalikan kuasa yang ada kerana anak-anak pada hari akan menjadi ”pemberontak” jika mereka rasa tercabar dan terlalu mengongkong. Di samping itu, konformiti tidak menggalakkan pluralistik kerana dianggap akan menjejaskan autoriti yang ada pada ibu dan bapa. Komunikasi keluarga yang ada di dalam masyarakat dari dahulu hingga sekarang sentiasa berubah-ubah dan boleh menganggu kesejahteraan keluarga.


Perubahan nilai, budaya, sikap dan pemikiran akan menjurus kepada perubahan komunikasi keluarga seterusnya perubahan peranan lelaki dan wanita yang telah berkeluarga. Perkembangan pesat sektor perindustrian dan kemodenan telah menjadikan kawasan luar bandar merasai limpahan pembangunan khususnya penghijrahan dari luar bandar ke bandar. Pembukaan kawasan penempatan baru telah mendorong masyarakat luar bandar untuk mengubah kehidupan mereka.


Penghijrahan ini turut ”menghijrahkan” minda mereka untuk melihat perkembangan pesat di bandar bersama peluang yang diberikan. Slogan hidup di bandar ialah ”Siapa kuat dialah juara” adalah manifestasi kegigihan masyarakat yang berfikir dan bekerja. Media turut berperanan memberi peluang kepada masyarakat luar bandar mengintai peluang pekerjaan di bandar kerana banyak iklan kerja yang didapati secara terus dengan syarikat berkaitan melalui nombor telefon. Harga telefon bimbit yang murah dan kos panggilan rendah menjadikan maklumat sentiasa beredar dengan cepat dan mengubah cara berfikir dan bertindak semua golongan masyarakat.


Bagi lelaki yang malas bekerja dan mengharapkan peranan mencari wang diserahkan kepada wanita, ia adalah kesan daripada perubahan paradigma pemikiran. Besar kemungkinan mereka menggunakan model keibuan kedua yang sedikit sebanyak mengundang kepada keinginan lelaki untuk cuba menjelajah peranan wanita sebagai ibu. Di kampung, lelaki yang malas bekerja ini bukan sekadar malas hendak mengetahui peranan wanita malah banyak menghabiskan masa tanpa berusaha mencari wang ringgit. Penyakit sebenar ialah minda yang terbiar. Otak mereka dibiarkan tanpa diisi dengan agenda yang boleh membina kehidupan sendiri. Justeru itu, kita menggalakkan supaya mereka ini diberi kursus atau kaedah ”Pemulihan Otak Terbiar” atau singkatannya POT supaya tidak memalukan lelaki-lelaki lain yang bersifat jantan.


Pada masa yang sama, program POT ini dapat meningkatkan aspirasi hidup mereka supaya ruang kemalasan akan menjadi kecil dan menguncup. Sebaliknya ruang berdikari dan kerajinan akan terbuka, lebih besar dan mekar sepanjang masa.


Rujukan Che Hasniza Che Noh.2006. Komunikasi Asas Kesejahteraan Keluarga. PEMIKIR Julai-September.Cowdery, R.S dan Knudson-Martin, C.2005. The Construction of Motherhood : Tasks, Relational Connection and Gender Equality. Interdisciplinary Journal of Aplied Studies. July 2005 Number 3, Vol. 54. USA: Blackwell Publishing.


Posted by Zahir Zainudin

Pendapat Orang Ramai

Parent Yang Meminta Duit Dari Anak


Salam...new topic...Ape pendapat korang ngan topik ni..Adakah korang pun mengharapkan anak2 bagi duit kat korang bile diorang dah besar nanti?..Jom kite share



bagi anif..i'allah kalu ada anak n bila diaorang dah dewasa ada kerja anif xkan minta duit dr diaorang..cam parents anif skang..wpun mak ayah org kg. bkn keje bagus2 tp xpenah pun minta duit dr. anak2..mak penah ckp dia xkan minta duit dr anak2..dia xkan nyusahkan anak2..yg dia nak tgk anak2 bahagia..kalu nak bg duit bg xnak xpayah..tp setahu anif seme anak2 dia xpenah lupe bg duit tiap2 bln kat mak n ayah..bg anif sndrila..parents yg tanggung anif sampai msk u xkanla bila dah kejer xleh bg duit kat parentskan.. benda ni tanggungjawab.. anif nak anak2 anif nanti pun cam2 gak..tau tanggungjawab terhadap parents..



Ntah.. harap2 saya nanti x nyusahkan anak2 saya. Mak ayah saya pun x pernah mintak. tapi kalau mintak untuk diri dia org mungkin saya bg kot. x tau nak ckp sbb arwah nenek yg duduk dgn kite org dulu pun x pernah mintak duit dgn mak. dia pi jln mana2 ke rmh anak2 dan sedara lain pun x pernah bersuara mintak duit.tp kalau mintak utk bg pinjam kat org lain... sorie ler bebyk... org tu yg kena sekolah dgn saya dulu.... saya mmg pantang org suka pinjam2 duit nie. pas tu liat tul nak byr...



tak meminta duit dr anak..tp anak kalo nak bagi, alhamdulillah...ringan beban yg dtanggung kan.. siapa x mau anak yg mgenang budi..



x spai hati nk mintak duit drpd anak2 bkn pe xnk menyusahkan anak2.tp klau anak2 ikhlas nk bagi Alhamdulillah...terima dgn hati yg terbuka...tp dh jd prinsip sy duit gaji tiap2 bulan mesti sy akan ketepikan utk bg kt mak n ayah sy xbyk pun xpe janji kite ikhlas nk bg bukanpe utk keberkatan n itu menunjukkan kite ingat kat mak n ayah kite susah2 membesarkan kite dari kecil lg. mmg laaa mak n ayah x mintak tp bila kite bagi duit tu sedikit sebyk mesti mrk gembira. ala berapa sen sgt laaa duit yg kite bg tu jika nak d bandingkan dgn jasa mereka membesarkan kite hingga jd org yg berguna... betul x???



harapnya kalau diberikan rezeki, ada anak, dan bila anak dah besar panjang nanti ann dan suami seboleh2nya xnak minta duit dari anak, dan tak kan mengharapkan duit dari anak...TAPI.. apa yg kitorang harapkan ialah...moga2 bila anak itu besar berkerjaya,berkeluarga nanti jangan minta duit dari kitorang cukupla,



x spai hati nk mintak duit drpd anak2 bkn pe xnk menyusahkan anak2.tp klau anak2 ikhlas nk bagi Alhamdulillah...terima dgn hati yg terbuka...tp dh jd prinsip sy duit gaji tiap2 bulan mesti sy akan ketepikan utk bg kt mak n ayah sy xbyk pun xpe janji kite ikhlas nk bg bukanpe utk keberkatan n itu menunjukkan kite ingat kat mak n ayah kite susah2 membesarkan kite dari kecil lg. mmg laaa mak n ayah x mintak tp bila kite bagi duit tu sedikit sebyk mesti mrk gembira. ala berapa sen sgt laaa duit yg kite bg tu jika nak d bandingkan dgn jasa mereka membesarkan kite hingga jd org yg berguna. Betul tak?



Sy pun sebolehnya takkan harap kan duit anak bila diorang dh keje nnt.Cam parents sy pun x pernah mintak,sbb diorang pun still bekerja. Sy pernah bg duit kat my mum and dad,tp diorang refused. Diorang ckp,yg diorang ada income sendiri. Lgpun dh langsai semua loan kete n rumah. Tp sbg anak,sy bg jugak, sy bank-in dlm bank. Dgn cara tu diorang terima jgk.



nnt bile anak2 besar, mmg xmharapkan duit dr anak2..tp lau dorang bg, xde salahnye..parents saya pun xpenah mintak..tp sbgai anak, sendiri mau ingat la..penat mak ayah mjga kite..mmg xternilai lau nk dbndingkan dgn duit, tp sekurang2nye kite mmudahkan kehidupan parents.. hope anak2 saya cm2 gk nnt..cuma yg paling diharapkan..doa2 dr anak2 yg soleh & solehah..yg tu leh bwak ke mana2..duit??xleh..

Soalan Dan Jawapan Oleh Cik C

Trauma kahwin kerana bapa pemalas.


SOALAN :


SAYA anak ketiga dari empat beradik dan satu-satunya perempuan dalam keluarga. Saya kini tertekan dengan sikap bapa yang pemalas. Bapa tidak pernah menolong ibu di rumah membuatkan saya trauma dan takut berkahwin.Saya takut akan memikul semua tanggungjawab apabila berkahwin nanti dan suami hanya duduk senang lenang seperti raja. Pengalaman mempunyai ayah macam ini membuatkan hati saya berfikir banyak kali untuk berkahwin.


Ibu bekerja di sebuah syarikat swasta manakala bapa pegawai di jabatan kerajaan. Saya pelik kerana sikap bapa yang hanya menonton televisyen di rumah setiap masa sambil berbaring seperti ular yang suka melingkar. Bayangkan, bapa boleh menonton televisyen dari pagi hingga malam dan apabila lapar, dia akan meminta ibu mengambil makanan manakala pinggan serta mangkuk yang sudah dipakai dibiarkan saja.Saya sangat kasihankan ibu. Saya tahu ibu penat bekerja.


Apabila balik dari pejabat, ibu terus ke dapur menyediakan makan minum dan selepas itu mengemas rumah. Ibu jarang ada masa berehat. Selalu juga ibu akan tidur lewat sekitar jam 1 pagi semata-mata menyiapkan semua kerja di rumah. Adakah benar semua lelaki macam bapa saya malas, tidak suka membantu kerja rumah dan suka membuang masa?


Anak Rimas,

Melaka


JAWAPAN :


DR memahami perasaan trauma adik. Pengalaman mempunyai ayah yang adik rasakan 'sangat malas' mencorak sikap dan pemikiran adik. Adik boleh mengurangkan trauma ini dengan berfikir bahawa sikap malas boleh berlaku kepada lelaki dan perempuan. Tidak semua lelaki bersifat malas dan enggan membantu isteri di rumah. Memetik kertas kerja yang bertajuk Dasar Pembentukan Rumah tangga serta Adat-adat Yang Bercanggah oleh Asmungi Mohd Sidek, beliau menjelaskan seorang gadis apabila mula memikirkan alam dewasa dan ingin memilih suami melalui rumah tangga, hendaklah membuat pemilihan teliti.


Justeru, adik perlu berhati-hati dalam memilih calon suami bagi mengelak mengalami apa yang berlaku kepada ibu adik. Ciri-ciri lelaki yang baik mengikut Asmungi lagi ialah rajin, berpemikiran luas dan tidak memakan harta perempuan. Lelaki begini adalah ciri-ciri lelaki yang tidak pemalas, inginkan kemajuan serta tidak mengharapkan titik peluh isteri. Allah sangat tidak menyukai manusia yang hanya bertawakal dan menyerah diri tanpa berusaha. Calon suami juga perlu berkebolehan dalam urusan rumah tangga. Lelaki yang mampu memasak, menjahit dan membasuh akan mengurangkan beban isteri di rumah.


Mohd Isa Selamat dan Kasmuri SL (1994) menjelaskan antara ciri memilih jodoh bagi seorang wanita ialah setidak-tidaknya kaum suami dapat membantu tugas isteri dalam keadaan dan kegiatan tertentu. Berhubung kait dengan sikap malas ayah adik, Joshua Coleman, seorang pakar perkahwinan, menjelaskan ada beberapa jenis suami yang malas.


Pertama ialah suami yang ingin sentiasa dijaga dan seolah-olah tidak berkemampuan membuat kerja rumah. Suami sebegini tidak ubah seperti seorang anak yang perlu dijaga.


Suami jenis kedua ialah yang bersikap sempurna. Beliau ingin rumahnya sentiasa kelihatan sempurna, tetapi tidak ingin membantu dalam membuat kerja rumah.


Suami jenis ketiga ialah suka memarahi isterinya.David Clarke dalam bukunya Men Are Clams, Women Are Crowbars - Understanding Your Differences And Make Them Work menjelaskan kaum lelaki tidak suka apabila diminta untuk melakukan kerja rumah. Lelaki tidak akan terus melakukan apa yang disuruh isteri. Mereka merasakan seperti orang suruhan. Selalu juga lelaki akan mengatakan akan menolong isteri, tetapi mengambil masa yang agak lama sehingga isteri sendiri yang akan membuat kerja tersebut. Apabila isteri mengingati semula apa yang disuruh, suami melihat isterinya sebagai suka membebel dan enggan melakukan kerja rumah.


Suami gagal untuk menyedari bahawa isteri tidak akan membebel jika dia melakukan apa yang disuruh dalam waktu yang diinginkan. Kerja rumah jika dilakukan bersendirian adalah terlalu berat. Kerja rumah perlu dikongsi bersama dalam satu perkahwinan. Ini boleh mewujudkan perkongsian dan meningkatkan perhubungan suami isteri. Ia juga satu petanda lelaki menghargai dan prihatin kepada isterinya.


Berbalik kepada masalah adik, mungkin petua memilih calon suami seperti yang diberikan di atas boleh mengurangkan trauma yang dialami adik. Perbincangan antara suami isteri mengenai tanggungjawab yang perlu dipikul bersama boleh mengurangkan bebanan yang ditanggung. Ibu dan bapa adik juga boleh berbincang mengenai tanggungjawab yang perlu dipikul bersama dalam keluarga termasuk ayah dan adik beradik yang lain.

Soalan Dan Jawapan Oleh Puan. A

SOALAN :


Assalamualaikum,


Saya ingin bertanya hukumnya seorang suami yang lebih pentingkan keluarganya (termasuk kakak yang sudah berkahwin, adik yang masih bujang tetapi bekerja) dan bapa yang sentiasa ingin hidup mewah.


Maksud saya, bapa masih kuat untuk berkerja tetapi malas bekerja hanya ingin bergaya cara orang kaya (pakai kereta dan barang-barang berjenama, bermain golf, bergaul dengan orang kaya, makan tempat mewah dan tidak pedulikan soal agama).


Kakak pula mempunyai suami yg malas bekerja tetapi suami saya membantu mereka dengan alasan kasihan tetapi tidak pula ingin memberi nasihat. Adik ipar pun suami ingin membantu padahal masih bujang dan sudah berkerja dengan alasan dia sayangkan adiknya. Saya tidak kisah jika suami mampu dan bersikap adil dgn saya. Saya langsung tidak dipedulikan keperluan saya.


Padahal saya berkerja begitu teruk, ulang alik setiap hari 3 1/2 jam perjalanan, 4 jenis kenderan perlu ditukar utk ke tempat kerja, perlu naik tangga hampir 500 anak tangga setiap hari dan berjalan kaki untuk ke stesen berdekatan. Duit gaji hampir 75% perlu diberi kepada dia. Apa yang saya dapat hanya untuk bayar tambang dan makan saja. Saya betul-betul rasa tertekan. Saya selalu bergaduh pasal keluarganya saja. Tolong jelaskan.


JAWAPAN :


i. Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri dan keluarga termasuklah makanan, pakaian dan tempat tinggal.

ii. Isteri pula diharuskan membantu suami dengan sama-sama mencari pendapatan bertujuan meringankan bebanan suami.

iii. Suami wajib membantu kedua orang tua dan adik-beradik yang memerlukan sebagaimana dia bertanggungjawab terhadap keluarganya sendiri.

iv. Jika benar-benar ingin membantu kedua orang tua dan adik beradik, bantuan boleh diberi dalam berbagai cara bukan semestinya berbentuk kewangan sahaja.

Soalan Dan Jawapan Oleh En. B

SOALAN :




Saya telah berkahwin. Masalah saya ialah keluarga mertua saya. Isteri saya adalah anak sulung. Ada 7 beradik, yang no.2 lelaki umur 17thn. Bapa mertua saya sekitar 40an dan mak mertua 37thn. Bapa mertua saya malas berkerja dan sekarang buat tak tahu duduk kat rumah dengan alasan duit boleh datang dan kadang katanya dia sakit. Sebelum ni jika ada masalah mak mertua saya pinjam duit kat abang dia. Bapa mertua saya masih mempunyai bapa dan abang, dia yang bungsu.



Masalah nya mak mertua saya sering merunggut kat isteri saya masalah keluarganya dan sering mendesak saya untuk meminjam duit. Bagi saya keluarganya susah kerana tak tahu berjimat dan malas kerja. Pernah saya balik raya bapa mertua saya beli mercun lebih kurang RM50 dan lepas tu mak mertua saya merunggut tak de duit nak hantar anak sekolah dan nak pinjam duit dari saya.



Sekarang ni saya rasa berat nak membantu. Tapi mak mertua saya sering mendesak/memaksa saya dan marah-marahkan saya jika saya tak tolong. Tapi isteri saya diam dan tak pernah memarahi saya.Pada pandangan saya tugas memberi nafkah adalah tanggung jawab suami (bapak Mertua) kepada keluarganya bukannya saya (menantu). Jika dia tak mampu memberi nafkah tanggung jawab bapanya(datuk Mertua). Jika datuk mertua tak mampu adakah tanggung jawab abangnya???. Bagaimana untuk saya mengatasi masalah ini???????.




JAWAPAN :




Berhubung dengan permasalahan yang dihadapi, tuan sebagai menantu haruslah ada sikap Terbuka terhadap mertua. Tuan dinasihatkan agar berbincang dengan bapa dan mak mertua secara bijaksana agar dapat membantu permasalahan tersebut. Sebagai seorang Islam, yang beriman dengan Allah s.w.t, manfaatkanlah ibadat-ibadat tuan untuk mendoakan mereka agar menjalankan tanggungjawabnya terhadap Allah s.w.t dan keluarganya..

Nafkah wajib

Sebenarnya seorang anak tidak wajib membayar nafkah kepada ibu bapa. Nafkah yang wajib dalam agama ialah daripada suami kepada isteri dan anak atau ibu bapa kepada anak.Bagaimanapun, anak boleh memberi ihsan pada ibu bapa. Berbeza jika ibu bapa tergolong orang yang daif dan miskin serta memerlukan perhatian anak kerana usia dan kemiskinan.

Sedekah

Kisah ni mak aku yang sampaikan pada aku. Katanya dulu arwah tok kalau nak sedekah pada orang miskin dia keliling kampung berjalan kaki ketuk tin sambil menolak barang-barang yang hendak disedekahkan itu. Kalau lalu depan rumah jiran (jiran pun keluarga dekat juga), mereka bertanya "Wi . Kemana Tu?". Jawab arwah tok "Sedekah kat keluarga si polan dan si polan".

Sejujurnya arwah tok aku itu bukan nak menunjuk-nunjuk pemberiannya. Tetapi lebih dari itu. Dia ingin mengajak semua orang membantu orang miskin. Bab memberi sedekah dan menolong orang susah aku memang kata Tok Aku Hebat.

Lawak : Air mata

Satu hari tu di kampung aku ada seorang waris yang telah meninggal dunia. So macam biasa lah ramai yang datang berziarah hingga ke kubur. Sebelum pergi ke rumah si mati, arwah tok aku minta bawang. Katanya untuk merahkan mata. He... He... He...

Lawak : Speaker Masjid

Cerita ni benar-benar berlaku. Atok aku ni seorang pendakwah bebas di sekitar negeri Perak sebelum tahun 2000 (kerana dia meninggal dunia pada 5hb Mac 1998). Pada satu malam ketika dia berceramah di Masjid Rapat Setia. Seperti biasa kadang-kadang aku ikut dia pergi kuliah selepas maghrib. Ceramahnya memang berkesan kerana unsur-unsur jenaka diterapkan dalam sesi ceramahnya (atau mungkin dia ni kelakar orangnya).

Malam tu selepas mengucapkan kata-kata penutup sesi ceramahnya dia didatangani oleh pengurus masjid (mungkin tok imam kot) . Sebelum bangkit dari tempat duduknya itu, tok imam tu perlahan-lahan duduk di sebelah tok aku (dengan harapan jemaah lain tidak tahu apa yang diperkatakan itu). Tok Iman itu berkata pada tok aku " Ustaz, Lepas ni kita pergi makan satay". Dengan gaya yang berbisik-bisik itu rupa-rupanya satu masjid dengar perbualan mereka kerana mikrofon di badan tok aku masih belum OFF.

So kami jemaah ada yang ketawa dan ada yang senyum lebar. Kah..Kah..Kah..

Al-fatihah untuk arwah tok aku tu... Kalau diingatkan dia aku mesti nak kuar air mata ni. Tiada pengganti dia kat dunia ni. Dia satu-satunya atok yang aku paling rindu. Harap dapat jumpa di akhirat nanti.

Tips Murah Rezeki

Posted by intanrohaida

Rasa diri selalu dihimpit masalah kewangan? Telah bekerja kedua-dua pasangan, namun masalah kewangan tidak habis- habis. Ada aje masalah bertandang. Baru sahaja dapat gaji, tiba-tiba anak sakit, kereta rosak, wang yang diperuntukkan untuk simpanan terpaksa disalurkan kepada kecemasan. malah pelbagai masalah bertandang yang membuat diri tersepit dan wang cair.

kenapa ya begitu? Pernah tak terfikir, wang kita habis kerana kita salah mengurus diri? dan ini bukan sahaja melibatkan masalah pengurusan diri dalam kehidupan peribadi tetapi juga kerjaya.
peribadi? kita tidak membantu- pasangan, anak-anak, ibu bapa, keluarga terdekat. sangat berkira tentang duit pada keluarga sendiri ;- isteri dan anak-anak. Kerjaya- kita curi tulang, tipu claim, mileage, menipu masa, menggunakan harta majikan untuk kepentingan peribadi dsbgnya.
bagaimana mahu duit ada kalau tidak berkat. wang akan lari dan menderu keluar. pendapatan 5 angka tapi masih tidak cukup walau keluarga kecil . dah lah kewangan begitu, keluarga pula penuh dengan masalah .

penyelesaiannya?
settlekan dulu hutang2 masa kerja, bayar balik duit hasil penipuan dan salah guna harta dan kemudahan kerajaan. bertaubat dengan sebenarnya.

Subject: Petua untuk murah rezeki dan dijauhkan kesulitan bu Yazid Al Busthami, pelopor sufi, pada suatu hari pernah didatangi seorang lelaki yang wajahnya kusam dan keningnya selalu berkerut. Dengan murung lelaki itu mengadu,”Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah lepas saya beribadah kepada Allah. Orang lain sudah lelap, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas yang enggan mencari rezeki. Tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?” Sang Guru menjawab sederhana, “Perbaiki penampilanmu dan rubahlah roman mukamu. tahukah engkau?, Rasulullah SAW adalah penduduk dunia yang miskin namun, wajahnya tak pernah keruh dan selalu ceria. sabda baginda, (Rasulullah SAW), salah satu tanda penghuni neraka ialah muka masam yang membuat orang curiga kepadanya.”

Lelaki itu tertunduk. Ia pun berjanji akan emperbaiki penampilannya. mulai hari itu, wajahnya senantiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar, tanpa mengeluh. Alhamdullilah sesudah itu ia tak pernah datang lagi untuk berkeluh kesah. Keserasian selalu dijaga. Sikapnya ramah,wajahnya senantiasa mengulum senyum bersahabat. Roman mukanya berseri.
Tak heran jika Imam Hasan Al Basri berpendapat, awal keberhasilan suatu pekerjaan adalah roman muka yang ramah dan penuh senyum.Bahkan Rasulullah SAW menegaskan, senyum adalah sedekah paling murah tetapi paling besar pahalanya.

Demikian pula seorang suami atau seorang isteri. Alangkah celakanya rumah tangga jika suami isteri selalu berwajah tegang. Begitu juga celakanya persahabatan sekiranya dikalangan mereka saling tidak berteguran. Sebab tak ada persoalan yang diselesaikan dengan mudah melalui kekeruhan dan ketegangan. Dalam hati yang tenang, pikiran yang dingin dan wajah cerah, Insya Allah, apapun persoalannya nescaya dapat diatasi. Inilah yang dinamakan keluarga sakinah, yang didalamnya penuh dengan cinta dan kasih sayang. Tips untuk menarik rezeki dan magnetik diri.

20 Amalan Murah Rezeki

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah (SWT) limpahi hamba-Nya dengan
keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep
rezeki yang telah diperkatakan, Allah (SWT) memberi jalan buat setiap
hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh
menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah
Allah (SWT) tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah (SWT), yang menjadi sebab Allah (SWT) jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah (SWT) s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah (SWT) jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah (SWT)
Banyak ingat Allah (SWT) buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah (SWT) beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah (SWT). Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah (SWT) hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah (SWT) akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim) Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah (SWT)) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah (SWT) lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah (SWT) akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)

12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah (SWT). Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah (SWT) akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah (SWT) dan menjadi sebab Allah (SWT) buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah (SWT) azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah (SWT) membanyakkan baginya. Dan siapa yang
menyedikitkan, nescaya Allah (SWT) menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah (SWT).

15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah (SWT) dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah (SWT)
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah (SWT). Lawannya adalah kufur nikmat. Allah (SWT) berfirman: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki. Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah (SWT) lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama Allah (SWT), al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah (SWT) ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah (SWT), bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah (SWT), penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah (SWT) suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah (SWT) berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah (SWT) beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi
Syaibah dan al-Hakim) Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh
membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah
(SWT). Firman-Nya:

“Barang siapa bertawakal kepada Allah (SWT), nescaya Allah (SWT) mencukupkan (keperluannya).” (At-Thalaq: 3)

Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah (SWT) dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari
Umar bin al-Khattab r.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah (SWT) akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah (SWT), lalu Allah (SWT) limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan
pemberian-Nya.

Memproses Keikhlasan

Posted by intanrohaida

Cuba check hati kita. sejauh manakah kita ikhlas atas apa yang kita lakukan terhadap keluarga kita… proseslah keikhlasan andai hati tidak ikhlas terutama terhadap suami dan anak sendiri. kerana besar sekali impak terhadap dunia dan akhirat kita andai kita tidak ikhlas.

Segala amal dan perbuatan kita adalah sia-sia. sesungguhnya untuk ikhlas itu amat sukar sedang ikhlas itulah letaknya pahala kita dan ketinggian keimanan kita.
bagaimana mahu memproses ikhlas?

Kita tidak boleh bermain dengan emosi kerana emosi memamah ikhlas seperti api memamah ranting kayu. sekiranya tidak ikhlas kita mudah mengungkit. andai tidak ikhlas, kita mudah sakit hati sekiranya tidak mendapat balasan setimpal atau apabila orang tidak tahu berterimakasih atas budi kita. bila tidak ikhlas, jiwa kita merana bila ‘ madu dibalas tuba’.
emosi itu sahabat syaitan andai tidak ditundukkan. sedang ikhlas itu adalah tahap tinggi dalam iman.

“Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya, Kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas di antara mereka.” Itu janji syaitan yang termaktub dalam quranul karim.
semoga dengan memproses keihklasan itu kita mampu peroleh keikhlasan sejati.

Powered By Blogger

Bacaan Al-Quran

Listen to Quran