Mengenal Makna Sebenar Kekayaan

on Rabu, 12 Ogos 2009

SEKIRANYA salah pengertian anda tentang kekayaan, adalah sukar untuk anda mencapainya, kerana pengertian atau definisinya ada kesannya. Jadi, ketahui terlebih dahulu makna sebenar kekayaan.

Kalau dulu definisinya mudah – kaya ialah banyak duit. Kaya adalah banyak harta. Salah satu atau kedua-duanya. Apabila lalu seorang kemudian diberitahu, “Dia tu orang kaya,” serta merta di dalam fikiran kita menetapkan orang itu sama ada mempunyai harta yang banyak atau wang yang banyak atau kedua-duanya sekali. Sekurang-kurangnya itulah gambaran kita. Harta yang banyak itu maknanya lebih dari untuk kegunaan sekeluarga.

Kemungkinan, kalau dulu, mempunyai lima ekar tanaman kelapa sawit sudah mencukupi untuk hidup selesa sekeluarga yang sederhana (6 orang misalnya), tetapi orang yang baru lalu tadi mempunyai 20 ekar tanah. Itu definisi kaya. Dulu orang tidak peduli apa itu ‘harta tidak mudah cair’ ‘harta mudah cair’ – tidak boleh ditukar segera kepada wang tunai. Tak peduli, cair atau tak cair, jika seseorang itu mempunyai lebih dari yang diperlukan – sahlah orang itu kaya.

Definisi tersebut kekal sama untuk masa sekarang, Cuma ada beberapa tambahan disesuaikan dengan zaman. Definisinya sama – kaya bermakna mempunyai wang atau harta yang banyak, lebih dari kegunaan menyara sekeluarga.

Dulu juga orang tak berapa memperdulikan berapa hutangnya, berbanding berapa hartanya. Maknanya orang ramai seperti tak pernah mempertikaikan ‘aset’ dan ‘liabiliti’ (hutang). Aset lebih dipandang sebab ia kelihatan. Hutang tak kelihatan, Cuma kesannya saja yang kelihatan. Kalau tanahnya 30 ekar, orang tak berapa peduli berapa hutang untuk membeli tanah tersebut kebanyakan orang dahulu membeli tanah secara tunai, tidak semestinya terus 10, 20 ekar tetapi berdikit-dikit., seekar dua terlebih dahulu.

Keadaan sekarang pula sudah berubah. Ada kaya hutang, ada kaya kosmetik. Sahabat anda boleh mengatakan dia telah menjadi jutawan. Konon hartanya sudah mencecah RM1 juta. Tetapi dalam masa yang sama, hutang untuk mendapatkan RM1 juta itu melebihi RM1 juta (termasuk ‘bunga’). Kalau ibarat dacing – hutang lebih berat dari harta. Layakkah dipanggil orang kaya? Layak, tapi kaya hutang atau kaya kosmetik. Dan yang menyakitkan hati, orang-orang begini terlalu ramai di sekeliling anda. Tujuannya adalah untuk mengejar status hingga lupa dia sebenarnya orang miskin kerana hutang melebihi harta. Hidupnya sentiasa susah, saban hari keluh kesah, mencari-cari apa saja peluang untuk mengekalkan status (kononnya).

Muka sentiasa keruh dan yang paling pasti: kata-kata bohongnya lebih banyak dari kata benar; atau mungkin sekali 99% adalah bohong belaka. Puncanya kerana mengejar status dan kekayaan kosmetik. Berbeza dengan orang yang membina – percaya bahawa status akan datang secara natural bukan melalui kekayaan kosmetik.

Definisi kekayaan ini boleh dikaitkan dengan peribahasa lama: tong kosong kuat bunyinya.” Peribahasa Melayu lama ini memang sentiasa tepat lebih-lebih lagi dalam mengenali orang yang kaya kosmetik atau kaya sebenar. Perhatikan – mereka yang kaya kosmetik sentiasa ‘memukul canang’ memberitahu umum kekayaannya. Kalau tak di mulut, pada benda. Contoh: sanggup mengikat perut untuk memiliki kereta yang selayaknya digunakan oleh orang kaya sebenar tetapi tak layak digunakan oleh mereka yang kaya kosmetik. Demi status dan memukul canang, derita terpaksa ditanggung. Hindari perangai seperti ini. Kekayaan mesti dibina bukan ditampal-tampal.

Berbeza dengan orang yang kaya sebenar. Pernahkah anda melihat orang kaya sebenar bising memberitahu kekayaannya? Kalau dia bising memukul canang bermakna dia kaya kosmetik, bukan kaya sebenar. Orang kaya sebenar enggan mengaku dirinya kaya. “Cukup makan saja.” Mereka menjawab begitu. Kalau orang kaya kosmetik menggunakan harta untuk menunjuk-nunjuk, orang kaya sebenar enggan melakukan begitu. Apa yang dimiliki adalah untuk keselesaan hidup bukan untuk menunjuk-nunjuk.

DEFINISI HARI INI

Hari ini dan akan datang, sebagaimana disebut tadi, asasnya kekal sama – mempunyai banyak wang atau harta. Cuma ada beberapa tambahan penting.

Cuma soalnya, bila kita mengatakan banyak, berapa banyak sebenarnya? Bagi setengah orang RM10,000 itu banyak. Setengah orang pula RM1 juta masih sikit. Jadi, bolehkah banyak itu dijadikan definisi? Boleh, tetapi bergantung kepada individu kerana pengertian banyak adalah berbeza mengikut individu.

Secara mudah – banyak itu boleh diberi definisi, “ mempunyai lebih dari keperluan.” Rasanya inilah definisi paling ringkas dan paling mudah. Orang yang kaya sememangnya mempunyai lebih dari yang diperlukan. Berapa lebihnya? Ia bergantung kepada individu. Dengan mempunyai lebih daripada keperluan, mudahlah menderma, melancong, tak perlu risau tentang perbelanjaan, peningkatan taraf hidup dan sebagainya.

Sekiranya harta dan wang tunai yang dimiliki melebihi RM1 juta, bolehlah bergelar jutawan. Orang kaya yang bertaraf jutawan. Tetapi, yang penting di sini ialah harta mestilah lebih banyak dari hutang. Tak guna gelaran jutawan jika hutang melebihi harta. Hutang memang tak dapat dielakkan tetapi harta mestilah melebihi hutang, jika tak mahu gelaran orang kaya kosmetik.

Selanjutnya, kita mencari makna sebalik kekayaan atau definisi kekayaan sebenar pada hari ini:
Kekayaan tersebut melimpah. Maknanya, diukur dari berapa ramai yang dapat turut sama merasai kekayaan anda. Bukan kekayaan sebenar jika anda dan keluarga sahaja yang dapat menikmati kekayaan tersebut.

Berapa banyak kebaikan yang terhasil dari kekayaan tersebut? Ramai yang tak peduli, mata dibutakan dengan wang sehingga lebih mementingkan diri sendiri tanpa perlu memikirkan kebaikan yang boleh terhasil dari kekayaan itu. Lebih malang lagi jika kekayaan tersebut lebih menghasilkan keburukan. Kekayaan sebenar mesti menghasilkan kebaikan.

Kekayaan tersebut ‘bersih’ – bukan diperolehi dari perkara yang dilarang oleh Islam. Percayalah, kekayaan yang diperolehi dari perkara dan perbuatan haram akan menyusahkan.

Menambah baik keperibadian. Kekayaan sebenar mampu menambah baik keperibadian anda dan keluarga. Jika apa yang terjadi sebaliknya, maka ia bukanlah kekayaan sebenar. Sesuatu terjadi adalah bersebab. Mesti ada sebab mengapa kekayaan itu memburukkan lagi keperibadian.

Merapatkan perhubungan. Biasa melihat orang kaya tetapi miskin sahabat, miskin jiran dan miskin segala-galanya? Kekayaan telah menjadikannya tidak disukai orang dan menyebabkan orang tidak mahu berkawan. Membuktikan itu bukan kekayaan sebenar. Mesti ada sebab musabab mengapa begitu.

Menjadikan anda lebih gembira. Biasa melihat orang kaya tetapi hidupnya tak tenteram, resah gelisah tanpa sebab dan wajahnya murung. Senyum jarang sekali apatah lagi ketawa. Kekayaan sebenar menjadikan lebih gembira. Tentu ada sebab mengapa menjadikan lebih berduka, murung.

UJIAN KEKAYAAN

Untuk menguji sejauh mana kekayaan, harta anda sekarang dan berapa banyak harta yang anda perlukan, mari kita buat ujian yang sangat mudah. Selepas ini sesiapa yang mendabik dada mengatakan, “Saya kaya…” akan sedar dari fantasi sekiranya gagal dalam ujian ini. Bahkan ujian ini boleh anda gunakan untuk orang lain sekiranya telinga anda pedih mendengar pukulan canang.

Ujian ini berbentuk soalan:

Berapa pendapatan anda setiap bulan?
Berapa harta dan wang tunai yang ada sekarang?

Ujiannya: kalau dalam 1 tahun anda tidak bekerja, tiada pendapatan, mampukah anda bertahan meneruskan hidup selama setahun itu?
Ujiannya: bagaimana kalau hanya 1 bulan sahaja tiada pendapatan? Mampukah anda menampung perbelanjaan keluarga sebulan?

Itu sahaja ujiannya. Sangat mudah. Bagi kebanyakan orang jangankan menjawab, memikirkan pun tak berani. Dan kebanyakkan orang gagal dalam ujian ini terutama mereka yang perasan dirinya kaya atau hanya sekadar kaya kosmetik. Bagi yang benar-benar kaya hasil dari kekayaan yang dibina, bukan tampalan, hanya senyum sahaja – mungkin boleh bertahan hanya selama setahun, mungkin juga hanya 6 bulan, mungkin 1 bulan sahaja.

Walaupun kaya sebenarnya bukan perhentian tetapi ia adalah proses berterusan, ujian ini boleh menentukan sama ada anda layak bergelar orang kaya atau belum layak. Ujian ini juga membantu anda menentukan berapa banyak sebenarnya yang anda perlukan. Kita tak tahu apa akan terjadi sesaat, sejam, sebulan, setahun dari sekarang. Bagaimana kalau tiba-tiba anda kehilangan pendapatan? Kerana itu dikatakan mempunyai lebih adalah lebih baik dari kurang. Kaya lebih baik.

Jika anda hanya mampu bertahan sebulan sahaja dengan harta yang anda miliki sekarang, semestinya anda perlu meningkatkan usaha agar anda mempunyai lebih dari yang anda miliki sekarang. Jangan sampai kita meminta-minta kerana kita berpeluang untuk menjadi kaya. Kita ada hak dan daya untuk menjadi kaya.Tidak mungkin kita akan senang sepanjang masa. Pasti akan ada era susah, masa mengalami kesusahan. Masanya pasti akan tiba kerana kita manusia ini sering menerima pelbagai ujian dari Allah SWT. Mungkin ujiannya sangat hebat, mungkin ringan. Sebelum tibanya saat itu, apa salahnya kita membina kekayaan bermula dari hari ini.

Kesusahan, ujian datang tanpa kita ketahui masanya. Kesusahan bila datang pasti tidak boleh ditangguh-tangguh lagi, tapi mengapa kita mesti menangguhkan usaha kita untuk membina kekayaan? Tahukah apa akan terjadi sesaat, sebulan, setahun dari sekarang?

BUAT APA KAYA!

Buat apa lepak di kedai kopi? Biasa bersama manusia-manusia kecewa di kedai kopi? Biasa bergaul dengan manusia pemalas? Biasa berkawan dengan manusia tanpa cita-cita? Atau manusia bodoh tetapi lagak pandai? Jika biasa, pasti akan terdengar ayat lazim, “Saya tak nak kaya. Susah nanti kalau kaya….” Atau, “Buat apa nak kaya…” sesedapnya mulut berkata begitu tanpa memikirkan kesan dan akibat kata-kata lazim tersebut. Kalau diri sendiri yang terpedaya dan terpengaruh tak mengapa, ini kata-kata tersebut mempengaruhi manusia-manusia lain yang mendengarnya. Kerana itu, jika anda serius mahu membina kekayaan, hindari kedai kopi dan yang sewaktu dengannya, pusat penyebaran kata-kata yang hanya merosakkan diri anda.
Lagipun, adakah anda mempunyai masa untuk lepak di kedai kopi? Bukankah lebih baik gunakan masa tersebut untuk perkara yang mampu membina kekayaan.

Agaknya, anda pun agak pelik, mengapa selama ini tak pernah terdengar, “Saya nak miskin, senang nanti kalau miskin.” Memang tak pernah terdengar. Tak nak kaya dan tak nak miskin. Bila atas pagar selalunya melompat kepada yang negatif. Selalunya memang terus menjadi miskin.

Apa yang lebih mengecewakan kata-kata itu seperti ayat penyata, kenyataan dan ajakan, mengajak siapa yang mendengar supaya menyokong dan mengikuti kata-kata tersebut. Inilah bahayanya bergaul dengan mereka yang kurang ilmu begitu. Apa tujuannya? Mungkin untuk melepaskan kecewa. Diri sendiri telah kecewa tidak dapat menjadi kaya (kerana kurang berusaha, hanya menghabiskan masa dengan berangan-angan dan lepak). Tujuan kedua supaya orang di sekelillingnya turut serta bersamanya, menjadi pengikut setia.

Buat apa nak kaya? Satu soalan pelik, seolah-olah tidak tahu menilai dan menggunakan wang. Orang-orang begini dalam masa yang sama sentiasa menghadapi kesusahan kewangan. Berhak atau tidak dia mendapat kesusahan kewangan? Memang berhak kerana dia tidak mahukan kekayaan. Secara tak langsung, sebagai lawan tak mahukan kekayaan ialah mahukan kemiskinan. Dia berhak mendapat kesusahan kerana itulah yang dikehendaki dan itulah kemahuannya.

Ini semua gangguan kepada fikiran, pemikiran dan fizikal anda yang menyebabkan terhenti perjalanan anda menuju kekayaan, sekiranya anda terpengaruh. Kebanyakan manusia memang mudah tepengaruh.

ITU TAK BENAR

Sebagai tambahan, di masa yang lain anda mendengar kata-kata dari mereka yang kurang ilmu tetapi berlagak pandai. Kata mereka, “Susah kalau kaya, nanti jadi sombong, lupa daratan, alpa, lalai, buat maksiat…” Ini satu lagi kata-kata yang boleh menyebabkan anda terpengaruh membantutkan arah dan usaha anda menuju kekayaan. Memang bahaya kata-kata orang yang ilmunya separuh tiang dan memandai, mengikut tafsiran sendiri.

Betulkah hanya orang kaya sahaja yang akan sombong, lupa daratan dan alpa? Jika anda perhatikan sekarang dan sejarah masa lalu, bukan orang yang kaya yang berperangai negatif begitu sebaliknya orang miskin dan orang yang sedang-sedang (kaya kosmetik, lebih hampir kepada miskin). Tidak juga dinafikan ada orang kaya yang berperangai negatif sebegitu, tetapi mesti diingat – hanya sebahagian kecil, kemungkinan baru lepas mengalami kejutan budaya – baru kaya mendadak, bukan kaya yang dibina dari bawah sedikit demi sedikit. Memang begitu selalunya jika kekayaan yang tidak dibina – akan terjadi kejutan bukan saja pada budaya bahkan pada perangai dan sikap.

Seperkara lagi, ungkapan itu (sama dari diri sendiri atau dari orang yang kecewa, berilmu separuh tiang, atau dari penceramah yang memandai) – adalah seperti memprogram pemikiran – bahawa bila dah kaya nanti akan sombong, alpa, lupa daratan, lalai, buat maksiat dan sebagainya. Juga seolah-olah sudah bersedia bila kaya nanti akan melakukan semua perkara negatif itu. Itu yang diucapkan, itu yang difokus dan diprogram setiap hari, maka tidak mustahil itulah juga yang akan diperolehi kalau kaya nanti. Tetapi selalunya mustahil orang yang mengeluarkan kata-kata begitu boleh menjadi kaya kerana dia sendiri yang menghalang dirinya untuk mencapai kekayaan. Kata-kata itu umpama halangan yang kekal menghalang.

Bagaimana cara untuk mengatasinya? Langkah pertama ialah menghindari dari selalu bergaul dengan orang-orang yang kecewa kerana mereka yang kecewa memang sangat rajin mengeluarkan kata-kata seumpama itu untuk menutupi kekecewaannya.

Anda akan terpengaruh jika kerap bergaul dengan orang yang kecewa. Kedua, jangan dengar kata-kata orang yang hanya tahu separuh tiang. Anda boleh terpengaruh dan akhirnya rosaklah hidup anda. Cara lain ialah:Terbalikkan kata-kata tersebut kepada bentuk positif agar ia memprogram pemikiran anda. Contoh: “Senanglah saya berbuat kebaikan, bersedekah, berbakti bila saya kaya.”Jangan mudah terpedaya dengan kata-kata. Sebaliknya tanyakan, “Bagaimana kalau kekayaan itu TIDAK menjadikan alpa, lalai, lupa daratan dan lain-lain.” Tanya begitu, rasanya yang berkata itu pun tidak ada jawapan – hanya sedap mulut berkata sahaja. Sekali lagi tanya secara terbalik: “Jadi saya perlu jadi miskin supaya tidak sombong, alpa, lupa daratan?”Kalau ada yang mengatakan, “Kita kena hidup sederhana.” Tanyakan semula, “Pada pendapat kamu, sederhana kalau ikut zaman sekarang ini bagaimana?” atau “Bagaimana yang dikatakan sederhana pada zaman sekarang?” Tanya bertalu-talu jika perlu.

Pendek kata, kata-kata yang tidak berasas itu lebih bahaya dari kemiskinan. Kalau kemiskinan itu menyakitkan dan mendekatkan kepada kekufuran, kata-kata dari mereka yang main agak-agak, penceramah yang memandai, lebih bahaya dari kemiskinan.

Jangan sampai terpengaruh. Kalau perlu bertanya, tanyalah kepada ulamak yang benar-benar berilmu. Sila bertanya, silap jawapan, anda akan turut sama melakukan kesilapan seumur hidup.

sumbangan dari http://www.sukses.my/

0 ulasan:

Catat Ulasan

Powered By Blogger

Bacaan Al-Quran

Listen to Quran