Soalan Dan Jawapan Oleh Cik C

on Rabu, 12 Ogos 2009

Trauma kahwin kerana bapa pemalas.


SOALAN :


SAYA anak ketiga dari empat beradik dan satu-satunya perempuan dalam keluarga. Saya kini tertekan dengan sikap bapa yang pemalas. Bapa tidak pernah menolong ibu di rumah membuatkan saya trauma dan takut berkahwin.Saya takut akan memikul semua tanggungjawab apabila berkahwin nanti dan suami hanya duduk senang lenang seperti raja. Pengalaman mempunyai ayah macam ini membuatkan hati saya berfikir banyak kali untuk berkahwin.


Ibu bekerja di sebuah syarikat swasta manakala bapa pegawai di jabatan kerajaan. Saya pelik kerana sikap bapa yang hanya menonton televisyen di rumah setiap masa sambil berbaring seperti ular yang suka melingkar. Bayangkan, bapa boleh menonton televisyen dari pagi hingga malam dan apabila lapar, dia akan meminta ibu mengambil makanan manakala pinggan serta mangkuk yang sudah dipakai dibiarkan saja.Saya sangat kasihankan ibu. Saya tahu ibu penat bekerja.


Apabila balik dari pejabat, ibu terus ke dapur menyediakan makan minum dan selepas itu mengemas rumah. Ibu jarang ada masa berehat. Selalu juga ibu akan tidur lewat sekitar jam 1 pagi semata-mata menyiapkan semua kerja di rumah. Adakah benar semua lelaki macam bapa saya malas, tidak suka membantu kerja rumah dan suka membuang masa?


Anak Rimas,

Melaka


JAWAPAN :


DR memahami perasaan trauma adik. Pengalaman mempunyai ayah yang adik rasakan 'sangat malas' mencorak sikap dan pemikiran adik. Adik boleh mengurangkan trauma ini dengan berfikir bahawa sikap malas boleh berlaku kepada lelaki dan perempuan. Tidak semua lelaki bersifat malas dan enggan membantu isteri di rumah. Memetik kertas kerja yang bertajuk Dasar Pembentukan Rumah tangga serta Adat-adat Yang Bercanggah oleh Asmungi Mohd Sidek, beliau menjelaskan seorang gadis apabila mula memikirkan alam dewasa dan ingin memilih suami melalui rumah tangga, hendaklah membuat pemilihan teliti.


Justeru, adik perlu berhati-hati dalam memilih calon suami bagi mengelak mengalami apa yang berlaku kepada ibu adik. Ciri-ciri lelaki yang baik mengikut Asmungi lagi ialah rajin, berpemikiran luas dan tidak memakan harta perempuan. Lelaki begini adalah ciri-ciri lelaki yang tidak pemalas, inginkan kemajuan serta tidak mengharapkan titik peluh isteri. Allah sangat tidak menyukai manusia yang hanya bertawakal dan menyerah diri tanpa berusaha. Calon suami juga perlu berkebolehan dalam urusan rumah tangga. Lelaki yang mampu memasak, menjahit dan membasuh akan mengurangkan beban isteri di rumah.


Mohd Isa Selamat dan Kasmuri SL (1994) menjelaskan antara ciri memilih jodoh bagi seorang wanita ialah setidak-tidaknya kaum suami dapat membantu tugas isteri dalam keadaan dan kegiatan tertentu. Berhubung kait dengan sikap malas ayah adik, Joshua Coleman, seorang pakar perkahwinan, menjelaskan ada beberapa jenis suami yang malas.


Pertama ialah suami yang ingin sentiasa dijaga dan seolah-olah tidak berkemampuan membuat kerja rumah. Suami sebegini tidak ubah seperti seorang anak yang perlu dijaga.


Suami jenis kedua ialah yang bersikap sempurna. Beliau ingin rumahnya sentiasa kelihatan sempurna, tetapi tidak ingin membantu dalam membuat kerja rumah.


Suami jenis ketiga ialah suka memarahi isterinya.David Clarke dalam bukunya Men Are Clams, Women Are Crowbars - Understanding Your Differences And Make Them Work menjelaskan kaum lelaki tidak suka apabila diminta untuk melakukan kerja rumah. Lelaki tidak akan terus melakukan apa yang disuruh isteri. Mereka merasakan seperti orang suruhan. Selalu juga lelaki akan mengatakan akan menolong isteri, tetapi mengambil masa yang agak lama sehingga isteri sendiri yang akan membuat kerja tersebut. Apabila isteri mengingati semula apa yang disuruh, suami melihat isterinya sebagai suka membebel dan enggan melakukan kerja rumah.


Suami gagal untuk menyedari bahawa isteri tidak akan membebel jika dia melakukan apa yang disuruh dalam waktu yang diinginkan. Kerja rumah jika dilakukan bersendirian adalah terlalu berat. Kerja rumah perlu dikongsi bersama dalam satu perkahwinan. Ini boleh mewujudkan perkongsian dan meningkatkan perhubungan suami isteri. Ia juga satu petanda lelaki menghargai dan prihatin kepada isterinya.


Berbalik kepada masalah adik, mungkin petua memilih calon suami seperti yang diberikan di atas boleh mengurangkan trauma yang dialami adik. Perbincangan antara suami isteri mengenai tanggungjawab yang perlu dipikul bersama boleh mengurangkan bebanan yang ditanggung. Ibu dan bapa adik juga boleh berbincang mengenai tanggungjawab yang perlu dipikul bersama dalam keluarga termasuk ayah dan adik beradik yang lain.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Powered By Blogger

Bacaan Al-Quran

Listen to Quran