Hal Ehwal Ibu Bapa (Siri 3)

on Selasa, 11 Ogos 2009

Kasih Keluarga Membawa ke Syurga

Posted 19 December 2008 By pendita

Melakukan kebaikan kepada ibu bapa merupakan suatu perintah dari Allah s.w.t. kepada setiap Muslim. sebagai seorang anak kita diingatkan agar melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa. Disamping itu, kita hendaklah tahu menghargai budi dan jasa yang dicurahkan mereka siang dan malam demi melihat anak-anak dalam keadaan baik dan berjaya dalam hidup tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Di dalam Al-Quran s.w.t. dengan tegas menjelaskan peranan dan tanggungjawab anak terhadap kedua ibu bapa. Dimana Allah s.w.t. menyuruh agar anak-anak sentiasa taat dan patuh kepada ibu bapa dengan sentiasa berbuat baik kepada keduanya dan apabila berbicara dengan mereka hendaklah dengan menggunakan bahasa yang lembut. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah al- Isra’ ayat 23.

Yang bermaksud : “dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau keduan-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tatapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia ( yang bersopan santun )”.

Pengorbanan seorang wanita yang bergelar ibu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta benda. segala kesusahan sewaktu hamil dan penderitaan serta kesakitan yang dialami disaat melahirkan anak adalah sesuatu yang sukar digambarkan, tatapi dengan tiba-tiba boleh bertukar dengan kegembiraan apabila mendengar tangisan pertama anaknya sebaik sahaja dilahirkan ke dunia ini.

Maka apakah memadai jasa dan pengorbanan seorang ibu itu dihayati dan dikenang tatkala menyambut hari ibu? Sudah tentu tidak, kerana sikap seumpama ini tidak mengambarkan kasih sayang sepanjang hayat, ia hanya sebagai budaya sekali setahun. Walau bagaimanapun hari ibu yang disambut pada 10 Mei setiap tahun tidaklah bermakna ia harus dibiarkan berlalu tanpa pengisian yang bermakna. Sebagai anak, kita sememangnya dituntut untuk mengenang jasa dan pengorbanan ibu yang telah menyusu, mengasuh dan memelihara kita dengan penuh kasih sayang. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah al-Ahqaf ayat 15.

Yang bermaksud : “dan kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapa, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan susah payah. sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya”.

Justeru itu, hari ibu yang kita sambut sawajarnya dimanfaatkan sebaik mungkin dan dinilai sejauhmana kita mensyukuri serta menghargai pengorbanan ibu kita dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranan sebagai ibu. Dengan demikian akan menambah dan mengeratkan lagi hubungan kasih sayang, melahirkan rasa hormat yang sedalam-dalamnya serta berterima kasih.

Menghormati ibu, bererti kita sentiasa menjaga hati dan perasaan mereka supaya tidak tersinggung ataupun disakiti. Dengan kata lain, segala suruhan dan larangan ibu mestilah dipatuhi dan sama sekali tidak boleh dikhianati. Bagi sesiapa yang tidak menghormati ibunya ataupun mengkhianati (mengingkari) tunjuk tunjuk ajar yang baik, maka dia (anak tersebut) dianggap telah mendurhaka. Dan bagi mereka yang durhaka kepada ibunya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup sewaktu di dunia dan juga di akhirat. Selain itu, mendurhaka kedua ibu bapa bererti telah mendurhaka kepada Allah s.w.t. Sabda Rasulullah s.a.w. :

” عَنْ عَبْدِ الله بن عَمْرُو بن العاص رضي الله عنهما عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: رِضَا الله في رِضَا الْوَالِدَيْنِ وَسَخْطُ اللهِ في سَخْطِ الْوَالِدَيْنِ.
(رواه الترمذي)

Yang bermaksud : “Dari Abdullah ban Amru r.a. telah bersabda Rasulullah s.a.w. : Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa”.

Marilah kita sama-sama merenung dan melakukan muhasabah diri. Apakah yang telah kita lakukan untuk keluarga kita, khususnya mendidik dan mengajar anak-anak agar mereka sentiasa tunduk dan patuh terhadap ajaran Islam sepanjang masa.

Kita sering dikhabarkan dan digemparkan dengan pelbagai masalah sosial terutama keruntuhan akhlak di kalangan remaja yang sering berlaku dalam masyarakat kita. Gejala yang membimbangkan ini dikaitkan dengan kerapuhan dan kelemahan institusi keluarga. Maka keadaan ini perlu diubah dan diatasi segera demi kebaikan sesebuah keluarga dan seterusnya memberi sumbangan kepada negara.

Islam mengajar agar keluarga dan rumahtangga menjadi sebuah institusi yang aman dan bahagia bagi seluruh ahli keluarga. Maka ibu bapa adalah orang pertama yang diharapkan dapat memberi bimbingan dan tunjuk ajar yang betul kepada anak-anak terutama dalam menyelesaikan masalah anak-anak. Dalam hal ini, Al-Quran dengan jelas memberi panduan kepada ibu bapa, bagaimana memberi perhatian dan didikan yang sempurna kepada anak-anak seperti yang digambarkan dalam surah Lukman ayat :13 dimana Allah s.w.t. memuji dan menceritakan didikan yang diberikan oleh Lukman kepada anaknya dengan firman-Nya yang yang bermaksud : “dan ( ingatlah ! ) tatkala Lukman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku janganlah engkau mempersekutukan Allah ( dengan sesuatu yang lain ) sesungguhnya perbuatan syarik itu adalah satu kezaliman yang besar!”.

Oleh itu, bersempena dengan sambutan hari ibu dan hari keluarga pada kali ini marilah kita sama-sama menghayati dengan mengisi sambutan hari tersebut mengikut kehendak Islam .

Usaha mendidik dan memperkasakan lagi sesebuah keluarga menjadi keluarga yang harmoni dan bahagia serta diredhai s.w.t. hendaklah sentiasa memberi perhatian kepada beberapa perkara diantaranya:

1. Memberi Keutamaan Kepada Asas Pembinaan Keluaga.
Sesebuah keluarga tidak mungkin bahagia jika dibina tanpa asas akidah yang kukuh dan keimanan yang mantap terhadap Allah s.w.t. Maka atas sebab inilah Agama Islam melarang keras umatnya samada lelaki mahupun wanita berkahwin dengan orang yang bukan beragama Islam .

2. Memahami Setiap Tanggungjawab dan Amanah.
Setiap ibu bapa hendaklah faham dan mengetahui tanggungjawab dan peranan masing-masing terutama dalam memberi perhatian dan didikan untuk anak-anak dengan betul menurut kehendak ajaran Islam .

3. Mengakui dan Bersedia Menerima Kejadian Diri.
Setiap pasangan hendaklah akur dengan perintah Allah s.w.t. yang telah menetapkan bahawa suami (kaum lelaki) adalah sebagai ketua bagi sesebuah keluarga. Oleh itu, suami hendaklah menerima amanah ini dengan penuh tanggungjawab, sementara isteri hendaklah taat dan menghormati suami.

4. Ibu bapa menjadi Contoh Terbaik.
Hendaklah sentiasa mendidik dan menanam didalam diri anak-anak sifat taat dan patuh kepada kedua ibu bapa serta sentiasa memberi tunjuk ajar dan contoh teladan yang baik kepada anak-anak .

5. Memupuk Kasih Sayang Yang Berpanjangan.
Hendaklah sentiasa menjaga dan mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan anggota keluarga dengan memastikan suasana sentiasa ceria, mesra, saling hormat menghormati dan selamat.

Hal Ehwal Ibu Bapa (Siri 2)

Hati Seorang Ibu

Posted 26 June 2009 By pendita

Islam amat memuliakan ibu dan kemuliaan ibu menduduki tempat kedua selepas mentaati Allah s.w.t. Justeru, Allah s.w.t. telah mewajibkan anak-anak memulia dan menghormati ibu sekalipun berlainan pegangan agama. Allah Azza Wajalla juga secara tegas mengharamkan segala bentuk penderhakaan kepada kedua-dua orang tua selagi ibu bapa berada atas landasan syarak. Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya:

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (Surah al-Israa’:23)

Adalah satu hakikat bahawa ibu mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding bapa. Berdasarkan sifat dan naluri keibuan, maka tidak hairan anak-anak lebih mengasihi, dan mengingati serta sering menyebut nama ibu berbanding bapa. Jika sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Kalau hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan. Kalau ingin tidur, kita mahu ibu yang tidurkan. Kalau ingin berkahwin, ibu juga yang kita risaukan. Malah sehingga saat menghadapi kematian pun, kita akan menyebut nama ibu.

Kuatnya ingatan anak-anak kepada ibu ialah kerana ibulah yang mengandungkan kita, ibu yang menyusukan kita, ibu yang menyuapkan kita makan dan minum, ibu yang mendodoi dan menidurkan kita, ibu yang membersihkan najis dan segala kotoran di badan kita. Oleh itu, wajarlah Allah s.w.t. memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya.Firman Allah s.w.t. dalam surah Luqman ayat 14:Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.”

Fahamilah bahawa ibu bapa adalah perantara yang menyebabkan kita berada di dunia ini. Mereka terlalu banyak berkorban tenaga, masa dan harta demi kebahagiaan anak-anak. Sedarilah bahawa ibu bapa kita kini telah tua, lemah tenaga, kabur penglihatan dan kurang pendengaran. Mereka sangat mengharapkan pertolongan dan perhatian anak-anak. Gembiralah ibu bapa andainya mereka di kasihi dan dimuliakan dan hancurlah hati ibu bapa jika kita menderhakainya. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan ibu bapa amat besar dan tidak mungkin kita dapat menebusnya.

Dalam hal ini, Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi Burdah tentang seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung ibunya dengan penuh cermat. Sesudah selesai tawaf, beliau bertanya kepada Ibnu Umar: Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini telah dapat membalas jasa bakti ibuku?. Jawab Ibnu Umar: Tidak, apa yang telah kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu.

Kita hari ini merasa dukacita kerana masih terdapat kes penderhakaan yang dilakukan oleh segelintir masyarakat kita terhadap ibu. Antaranya ada yang menunjukkan kedegilan melawan cakap ibu, lari meninggalkan rumah kerana tidak suka dinasihati ibu, membiarkan ibu yang sakit bersendirian, meminggirkan ibu tanpa khabar berita, mengherdik ibu, mengkhianati harta benda ibu, menjadikan ibu sebagai orang gaji, malah ada yang sanggup memukul ibu. Apa yang ganjilnya, ada segelintir dari kalangan kita yang berebut-rebut mencium tangan orang lain tetapi jarang sekali mencium tangan ibu sendiri yang sebenarnya ada keberkatan.

Insaflah, perbuatan menderhakai ibu bapa akan mendatangkan kecelakaan kepada kita di dunia dan di akhirat. Di dunia kita akan menerima giliran diderhakai oleh anak-anak kita, dan begitulah seterusnya. Manakala di akhirat akan menerima kemurkaan Allah Azza Wajalla. Ini selaras dengan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Mafhumnya: “Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).”

Ini adalah diseru bagi pihak ibu-ibu kepada anak-anak sekalian, marilah kita bersegera mengubat kerinduan ibu sebelum mereka didatangi ajal. Gembirakanlah mereka dan carilah keredhaan mereka serta perbanyakanlah doa keampunan kepada mereka. Budayakanlah amalan memuliakan dan menghormati ibu bapa di sepanjang kehidupan kita dan janganlah hanya dibuat pada masa-masa tertentu sahaja. Inilah kewajipan anak-anak yang ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya:

Maksudnya: “Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”(Sural al-Israa’:24)

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Hal Ehwal Ibu Bapa (Siri 1)

Berbakti Kepada Ibu Bapa Menjamin Keberkatan Hidup

Posted 5 December 2008 By pendita

Penderhakaan kepada ibu bapa adalah sebahagian gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat. Terdapat masyarakat Islam yang menganggap memelihara dan menjaga kebajikan kedua ibu bapa bukan satu tanggungjawab penting. Fenomena ini berlaku kerana masyarakat beranggapan menjaga rumahtangga sendiri dan anak-anak lebih penting daripada mengambil berat ke atas ibu bapa.

Paling malang lagi terdapat anak-anak yang menghantar kedua ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua dengan alasan sibuk bekerja ataupun sukar mencari penjaga. Ini adalah berita buruk dan amat menyedihkan ibu bapa.Lebih menyedihkan terdapat ibu bapa yang telah ditempatkan di rumah kebajikan ini merayu kepada anak-anak supaya mengambil mereka kembali untuk tinggal bersama tetapi tidak diendahkan. Selain itu terdapat juga anak-anak lebih memuliakan dan menghormati kawan-kawan dan sahabat handai berbanding dengan layanan kepada ibu bapa mereka.

Umat Islam disaran jangan mencontohi kisah layanan buruk ‘Alqamah terhadap ibunya yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dalam kisah ini, ‘Alqamah telah ditimpa sakit yang amat teruk dan tidak dapat mengucap ketika hampir saat kematiannya walaupun sahabat-sahabat Rasulullah SAW telah mengajarnya berkali-kali sehinggakan Rasulullah terpaksa memanggil ibu ‘Alqamah untuk bertanyakan apa hal sebenarnya yang berlaku.

Ibu ‘Alqamah telah menerangkan kepada Rasulullah SAW bahwa dia marah kepada anaknya kerana anaknya lebih mengutamakan isteri lebih daripada ibunya sendiri. Lihatlah sidang jamaah sekalian, walaupun ‘Alqamah adalah seorang yang sangat taat dan kuat ibadatnya kepada Allah SWT, rajin bersolat, berpuasa dan bersedekah tetapi disebabkan kemarahan ibunya Allah SWT telah menutup lidahnya untuk mengucapkan kalimah syahadah.
Islam memberi amaran keras terhadap mereka yang gagal melaksanakan hak-hak ibu bapa, menderhaka atau membiarkan ibu bapa yang sudah lanjut usianya menjalani kehidupan yang sukar dan menyedihkan. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya : “Tidak akan masuk syurga orang yang suka menunjuk-nunjuk pemberiannya, orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya dan orang yang ketagihan minuman keras.”
Apa yang nyata, berbakti kepada kedua ibu bapa, bersikap mulia serta menunaikan hak-hak terhadap mereka adalah di antara tugas yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam. Perintah mentaati keduanya jelas termaktub di dalam surah Lukman ayat 14:

Maksudnya : “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepadaku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada akulah tempat kembalimu”.

Hakikatnya tanggungjawab anak-anak dalam melaksanakan hak-hak ibu bapa adalah hak yang paling penting sesudah menunaikan hak Allah SWT dan hak Rasul-Nya. Lantaran itu, hendaklah kita berbakti dan berbuat baik kepada mereka, mentaati mereka, berakhlak mulia sepanjang masa kepada mereka, mengutamakan mereka dalam segala kebajikan dan kebaikan lebih daripada diri kita sendiri, anak-anak dan juga isteri.

Sesungguhnya tanggungjawab anak-anak terhadap kedua orang tua bukanlah hanya dilakukan semasa hayat mereka masih ada sahaja tetapi berterusan walaupun mereka telah meninggal dunia. Anak-anak masih boleh menyumbangkan bakti mereka dengan pelbagai amalan seperti memperbanyakkan istighfar dan berdoa untuk mereka, bersedekah, membayar segala hutang piutang serta melaksanakan semua wasiat yang mereka tinggalkan selagi wasiat tersebut tidak bercanggah dengan hukum syarak. Selain itu menghubungkan silaturahim dengan teman-teman dan kaum kerabat serta orang-orang kesayangan ibu bapa juga merupakan salah satu cara berbakti yang boleh kita lakukan.

Kita perlulah beristiqamah dalam berbuat ihsan kepada ibu bapa supaya mereka dapat menikmati kualiti hidup yang sempurna di dunia ini. Jika kita gagal berbuat demikian, maka di kemudian hari kita akan menerima nasib yang sama. Jabir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

Maksudnya : “Berbaktilah kepada orang tua kamu (ibu bapa), nescaya anak-anak kamu akan berbakti kepada kamu. Dan peliharalah kehormatan isteri-isteri orang lain, nescaya isteri-isteri kamu akan memelihara kehormatan mereka.”

Fahamilah hakikat bahawa setiap kita adalah anak dan setiap kita juga akan menjadi ibu dan ayah. Oleh itu berlaku ihsanlah kepada ibu bapa agar setiap anak yang akan menjadi ibu dan bapa, akan dikasihani dan disayangi oleh anak-anak pula. Sungguh membimbangkan jika ibu bapa kita hidup dalam keadaan terbiar, maka kemungkinan besar anak-anak yang akan menjadi ibu dan bapa juga akan turut terbiar dan tidak dipedulikan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Israk ayat 7 :

Maksudnya : “Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedahnya adalah untukmu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka berbalik kepada diri kamu juga”.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Powered By Blogger

Bacaan Al-Quran

Listen to Quran