Keterangan 5 : Speaker Halal Vs Speaker Haram

on Isnin, 30 November 2009

20 October 2009

Speaker Halal Vs Speaker Haram Nizar News
OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Motto 1 Malaysia yang dicanangkan oleh Najib nampaknya tidak berlaku di Perak. Di Perak rakyat disajikan dengan dua Menteri Besar iaitu MB halal ( Nizar ) dan MB haram ( siapa lagi kalau bukan Zambry ) Seterusnya Speaker halal ( V.Sivakumar ) dan Speaker haram ( R. Ganesan ).

Kewujudan dua MB dan dua Speaker di Perak adalah hasil kraftangan Najib sendiri. Beliaulah yang tanpa segan silu merompak Kerajaan sah Perak yang diterajui oleh Pakatan Rakyat (PR).

Dari segi undang-undang dan Perlembagaan, Najib dan Umno sedar bahawa mereka tidak mampu berhujah untuk melawan V. Sivakumar. Kuasa Sivakumar sebagai speaker DUN Perak yang sah adalah terlalu jelas dan luas. Tetapi memandangkan Najib dan Umno bukanlah spesis yang ada maruah dan harga diri mereka menggunakan ( baca salah guna ) apa sahaja kuasa yang ada untuk menjatuhkan Sivakumar

Apa yang Najib dan Umno tidak lakukan untuk menjatuhkan Sivakumar. Mula-mula Umno guna SPR untuk mengenepikan keputusan Sivakumar yang memutuskan kerusi tiga “katak” telah kosong. Apabila Sivakumar menggantung Zambry dan enam exconya yang haram Umno guna pula polis untuk soal siasat Sivakumar. Tidak cukup polis , Umno guna pula SPRM untuk soal siasat Sivakumar. Apabila polis dan SPRM tak jalan, Umno guna pula Mahkamah . Kita tentu tidak lupa usaha Umno yang menghalang Sivakumar untuk guna khidmat peguamnya sendiri bagi mewakili beliau. Malahan apabila Sivakumar mahu mewakili diri sendiri peguam Umno juga membantah.

Tidak cukup guna SPR, Polis , SPRM dan Mahkamah untuk mengenepikan Sivakumar sebagai speaker yang sah dan halal , Umno tanpa rasa malu dan bermaruah tergamak menggunakan cara yang paling kurang ajar dan paling tidak bertamadun melucutkan kuasa Sivakumar sebagai speaker DUN Perak yang sah pada 7 Mei 2009 yang lalu.

Demi kuasa Umno tergamak salahguna polis untuk mengangkat Sivakumar ( dengan kerusinya sekali ) dan mengurung beliau dalam stor. Kerana kuasa Umno lupa bahawa jika sekalipun mereka ingin melucutkan kuasa Sivakumar sebagai speaker , Umno tidak boleh sama sekali megusir Sivakumar dari dewan persidangan DUN Perak . Sivakumar adalah wakil rakyat atau ADUN yang sah , justeru itu beliau layak berada di dalam dewan persidangan.

Tanpa segan silu Umno tergamak langgar Perlembagaan dan amalan Perlembagaan ( constitutional convention ) apabila melantik V. Ganesan sebagai speaker yang haram pada 7 hb Mei 2009 yang lalu.

Dari sudut undang-undang dan amalan Perlembagaan segala urusan rasmi sidang DUN Perak ( order of business ) hanya boleh dibuat setelah persidangan DUN Perak dengan secara sah membuka urusan rasmi tersebut ( had lawfully opened for business ).

Jika dilihat kepada Standing Orders bagi DUN Perak tiada peruntukkan secara jelas berkaitan dengan persidangan DUN Perak pada 7 Mei tersebut. Oleh itu berdasarkan Standing Order No 90 amalan-amalan di Parlimen di Negara-Negara Komenwealth boleh digunapakai sekiranya Standing Orders tidak mempunyai peruntukkan yang jelas .

Buku Erskine May’s Treatise on the Law, Privileges, Proceedings and Usage of Parliament adalah satu buku yang selalu dirujuk dalam isu-isu yang berkaitan dengan prosedur Parlimen di negara-negara Komenwealth. Di dalam buku tersebut pengarang telah menyatakan“ Dalam mana sessi Parlimen kecuali sessi Pertama ( Pembukaan ) Parlimen , sessi dikira bermula dengan ucapan Raja England ( Queen ) . Sehingga sidang diisytiharkan mula oleh Raja kedua-dua Dewan tidak boleh mulakan sebarang urusan awam yang rasmi. Amalan ini diikuti kerana tiada mana-mana urusan di Parlimen boleh dijalankan sehingga Parlimen itu sendiri dibuka secara rasmi oleh Raja ( no business can be transacted until Parliament has been opened by the Crown)

"Selanjutnya di dalam buku Halsbury’s Laws of England di bawah tajuk (v) Proceedings at the Opening of Parliament ... 713 The Queen’speech dinyatakan seperti berikut“ Tiada mana-mana Dewan boleh meneruskan apa-apa urusan awam sehinggalah sesuatu sessi itu telah dibuka oleh Raja secara sendiri atau melalui Pesuruhjaya Lord yang bertindak bagi pihak Raja ( Queen ).”

Di dalam buku Griffith and Ryle on Parliament : Functions, Practice & Procedures.” (2nd Ed. 2003) pengarang tersebut juga menyatakan perkara yang sama

Di England, apabila Raja telah mula membuka sessi Parlimen ( di sebelah pagi ) maka urusan awam dan rasmi Dewan Rakyat ( House of Commons ) akan hanya dimulakan jam 2.30 petang.

Dalam konteks kes Perak pula adalah jelas pada 7 hb Mei 2009 ucapan Sultan Perak hanya dibuat pada jam 3.16 petang sehingga jam 3.47 petang. Maka dari segi undang-undang apa sahaja urusan rasmi DUN Perak ( termasuk usul untuk memecat Sivakumar dan melantik Ganesan ) hanya boleh dibuat selepas jam 3.47 petang.

Namun Umno dengan kesombongan dan kebodohan mereka telah mengangkat dan mengusir Sivakumar dan seterusnya melantik Ganesan sebagai speaker haram sebelum sessi DUN Perak bermula iaitu sebelum ucapan Raja Perak dimulakan pada jam 3.16 petang

Oleh itu sebarang resolusi atau usul yang diluluskan oleh Umno pada sidang DUN Perak pada 7 Mei 2009 termasuklah usul memecat speaker yang sah dan halal dan melantik speaker yang haram adalah tidak sah.

Tidak cukup Ganesan telah dilantik secara tidak sah, Umno sekali lagi melakukan kesilapan bodoh apabila gagal memastikan Ganesan meletakkan jawatan sebagai peguambela dan peguamcara dalam masa 3 bulan daripada tarikh beliau dilantik sebagai speaker yang haram iaitu pada 7 Mei 2009.

Ganesan hanya memfailkan Notis Pemberhentian sebagai peguam dan menghantar Surat Akuan Sumpah pada Majlis Peguam pada 17 Ogos 2009 sedangkan di dalam Perlembagaan Perak beliau sepatutnya berhenti menjadi peguam sebelum 7 hb Ogos 2009.

Memandangkan Ganesan adalah speaker yang haram maka tindakan beliau memanggil sidang DUN Perak pada 28 Oktober 2009 ini adalah satu tindakan yang tidak sah dan tiada sebarang nilai di sisi undang-undang. Tapi jenis spesis Umno ni dia orang kisah ke pada benda-benda haram !!!

Keterangan 4: MB Haram Dibenarkan Jalan Tugas MB Halal

Tuesday, May 12, 2009

MB HARAM DIBENARKAN JALAN TUGAS MB HALAL
Oleh : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Saya percaya ramai ingin mengetahui sama ada keputusan Hakim Mahkamah Rayuan , Dato Ramly Ali menggantung pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi bermakna Zambry adalah Menteri Besar Perak yang sah ?

Sebelum saya menjawab soalan tersebut, elok rasanya saya berkongsi dengan pembaca tentang perintah-perintah yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi pada 11 hb Mei yang lalu. Mahkamah Tinggi ketika mana membenarkan permohonan Dato Seri Nizar Jamaluddin memerintahkan seperti berikut :-

a. Berkenaan tafsiran Fasal 16 ( 6 ) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak bahawa dalam keadaan di mana :

(i) Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan ingin, dan telah member nasihat, untuk pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

(ii) tidak terdapat pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

(iii) tidak terdapat usul tidak percaya yang diambil dan diterimapakai dalam dan oleh Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak terhadap Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan; dan

(iv) tidak terdapat perletakan jawatan mentri besar Negeri Perak Darul Ridzuan;

Mahkamah mengisytiharkan jawatan Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan ( yang dipegang secara sah oleh Nizar ) tidak boleh dan/atau tidak dikosongkan.

b. Perintah “quo warranto” dikeluarkan kepada Zambry ( Responden ) memerintahkan beliau untuk tunjuk sebab dan memberi maklumat bagaimana dan di bawah dasar atau kuasa atau authoriti mana beliau berhak kononnya memegang jawatan Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan dan kononnya bertindak dan/atau menjalankan dan/atau melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab, fungsi-fungsi dan tugas-tugas Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan.

c. Perintah deklarasi bahawa Zambry TIDAK BERHAK untuk dan/atau TIDAK MENJAWAT jawatan Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan dan BUKANNYA Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan pada bila-bila masa yang material.

d. Perintah injunksi untuk menghalang Zambry dan/atau agen-agen beliau dan/atau pengkhidmat-pengkhidmat beliau ( seperti Setiausaha Kerajaan Negeri ( SUK ) dari bertindak dan/atau menjalankan dan/atau melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab, fungsi-fungsi dan tugas-tugas Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan.

Itulah perintah-perintah yang Mahkamah Tinggi keluarkan pada 11 hb Mei yang lalu yang sekaligus menunjukkan secara jelas dan terang bahawa Dato Nizar ( bukannya Zambry ) adalah Menteri Besar Negeri Perak yang sah.

Pada asalnya selain daripada perintah-perintah tersebut , Nizar juga memohon perintah gantirugi . Namun di atas kesedaran bahawa wang bukanlah matlamat tindakan Mahkamah ini, maka Nizar telah menarik balik tuntutan gantirugi . Jika tidak ditarik terdapat kemungkinan besar Mahkamah Tinggi juga akan menganugerahkan gantirugi kepada Nizar yang mungkin jika ditaksirkan akan mencecah jumlah yang agak tinggi.

Nizar juga tidak memohon agar Zambry perlu membayar kos kepada beliau meskipun menjadi satu prinsip undang-undang pihak yang kalah seperti Zambry perlu membayar kos kepada pihak yang menang ( iaitu Nizar ). Jika Nizar tidak menarik balik perintah kos tersebut saya boleh bayangkan ratusan ribu ringgit yang mungkin Zambry perlu membayar kepada Nizar.

Sekali lagi matlamat kewangan bukan faktor yang mendorong Nizar mencabar Zambry di Mahkamah. Sekarang saya akan menjawab persoalan yang timbul di awal artikel ini. Permohonan untuk penggantungan pelaksanaan penghakiman ( stay of execution of judgment ) selalunya dipohon oleh pihak yang kalah dalam mana-mana prosiding Mahkamah.

Permohonan tersebut selalunya dibuat bagi mengekalkan status quo iaitu supaya pihak yang menang tidak boleh menikmati perintah yang diberikan oleh Mahkamah. Dalam kes ini sebenarnya peguam Zambry telah pada 11 hb Mei memohon secara lisan perintah penggantungan pelaksaanaan tersebut di Mahkamah Tinggi tetapi Mahkamah telah menolak permohonan Zambry tersebut.

Maka Zambry telah pada hari ini ( 12 Mei ) memohon perintah tersebut di Mahkamah Rayuan dan peguam Nizar telah membantah permohonan tersebut. Dari segi undang-undang prinsip yang terpakai bagi permohonan penggantungan pelaksanaan adalah pihak yang memohon tersebut perlu menunjukkan dan meyakinkan Mahkamah bahawa terdapat keadaan yang istimewa atau unik ( special circumstances ) yang menwajarkan perintah yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi tidak boleh dinikmati oleh Nizar.

Dalam kes ini nampaknya Mahkamah Rayuan berpendapat wujudnya keadaan istimewa tersebut tetapi kita masih kabur apakah yang keadaan istimewa tersebut kerana saya difahamkan Mahkamah masih belum mengeluarkan alasan penghakiman ( dan mungkin tidak akan mengeluarkan alasan ). Selalunya jika pun Mahkamah membenarkan perintah penggantungan pelaksanaan Mahkamah akan juga dalam masa yang sama mengenakan syarat-syarat tertentu.

Peguam Nizar meminta Mahkamah mengenakan beberapa syarat kepada Zambry namun meskipun peguam Zambry iaitu Dato’ Cecil Abraham pada dasarnya bersetuju syarat dikenakan ke atas Zambry, Peguam Negara pula menentang syarat dikenakan ke atas Zambry.

Adalah jelas dan nyata sejak dari awal Peguam Negara iaitu Ghani Patail tidak pernah menunjukkan sikap neutral di dalam kes ini. Beliau sejak awal menunjukan sikap memihak kepada Zambry meskipun berselindung di sebalik topeng penjaga kepentingan awam. Sikap beliau dari awal menunjukkan beliau adalah penjaga kepentingan Umno.

Peguam Negara sejak awal bersungguh ingin mematikan kes Nizar. Beliaulah yang memohon merujuk kes ini ke Mahkamah Persekutuan di bawah seksyen 84 Akta Mahkamah Keadilan. Di Mahkamah Persekutuan beliau kalah dan kes Nizar masih hidup. Selepas itu beliau sekali lagi menentang bermati-matian agar Mahkamah tidak membenarkan Nizar meneruskan permohonan semakan kehakiman dengan alasan kononnya Nizar mencabar kuasa Sultan Perak. Sekali lagi , Mahkamah tolak hujah beliau dan kes Nizar diteruskan. Semasa kes Nizar berjalan, beliau sekali lagi berhujah dan memohon Mahkamah menolak permohonan semakan kehakiman ( judicial review ) Nizar. Sekali lagi Mahkamah Tinggi menolak bulat-bulat keseluruhan hujah beliau. Tiada satu pun hujah Peguam Negara yang diterima oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi.

Akhirnya saya ingin jelaskan di sini perintah penggantungan pelaksanaan BUKAN perintah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi . Keputusan Mahkamah Tinggi masih sah dan mengesahkan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sah dan Zambry adalah Menteri besar yang haram.

Oleh kerana menteri besar haram merayu mungkin Mahkamah rayuan berpendapat bagilah peluang menteri besar haram tersebut pegang jawatan tersebut sehingga rayuan beliau diputuskan sebab bukankah sejak dari awal beliau telah ketagih dan mabuk dengan kuasa sehingga sanggup membenarkan partinya merompak Kerajaan sah yang diterajui oleh Menteri Besar yang sah dan dipilih secara sah oleh rakyat Perak.

posted by hanipamaidin @ 6:22 AM 7 comments

Keterangan 3: Segalanya Haru Biru Bila DUN Perak Tidak Dibubarkan

Tuesday, March 03, 2009

SEGALANYA HARU BIRU BILA DUN PERAK TIDAK DIBUBAR
OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Melihat kepada apa yang berlaku di Perak pada masa ini kita boleh menyimpulkan begini : segalanya lintang pukang dan haru biru apabila Y.M Sultan Perak, di atas budibicaranya, enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Perak meskipun diminta oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Nizar untuk berbuat demikian di bawah Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Negeri Perak.

Dari situ berlakulah siri lintang pukang yang sekaligus memalukan bukan sahaja rakyat Perak tetapi juga nama Malaysia di pandangan dunia.

Apabila Speaker dan para ADUN Pakatan terpaksa mengadakan sidang DUN tergempar di bawah pokok kita teringat apa yang berlaku kepada Kerajaan Pasola di dalam filem Laksamana Do Re Mi arahan P.Ramlee. Yang lebih lucu lagi Penasihat Undang-Undang Negeri Perak mahu mewakili Zambry dalam kes yang difailkan oleh Nizar tetapi di dalam kes yang difailkan oleh UMNO ke atas Speaker, V. Sivakumar ( kerana Speaker melarang Zambry masuk DUN selama 18 bulan ) Mahkamah Tinggi Ipoh pula mengarahkan V. Siva Kumar diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Perak. Ini bukan lagi haru biru tapi dah berbelit dan tersimpul !!!

Untuk berlaku adil kepada Y.M Sultan Perak, tidak boleh dinafikan baginda mempunyai budibicara untuk enggan membubarkan DUN meskipun diminta secara munasabah oleh MB Perak. Namun istilah “budibicara” di dalam konteks undang-undang tidak pernah ditafsirkan sebagai budibicara mutlak ( absolute discretion) .

Budibicara , sepertimana yang diterima oleh prinsip undang-undang dan amalan demokrasi , hendaklah dilaksanakan secara wajar dan adil.Y.M Sultan Perak pun sendiri mengakui bahawa tidak wujud apa yang dinamakan budibicara mutlak kerana beliau sendiri pernah di dalam satu kes yang beliau putuskan semasa menjadi hakim dahulu iaitu kes Pengarah Tanah dan Galian , Wilayah Persekutuan v Sri Lempah Enterprise Sdn Bhd ( 1979 ) 1 MLJ 135 menyatakan seperti berikut :-

“ Every legal power must have legal limits otherwise there is dictatorship… in other words , every discretion cannot be free from legal restrain ; where its is wrongly exercised , it becomes of the court to intervene. The courts are the only defence of the liberty of the liberty of the subject against departmental aggression. Unfettered discretion is contradiction in terms”. Power tends to corrupt and absolute power corrupts absolute”

( Terjemahan :”Setiap kuasa di sisi undang-undang mesti mempunyai had dan batasannya di sisi undang-undang. Dengan lain perkataan setiap budibicara tidak boleh bebas dari had dan batasan undang-undang. Kalau sekiranya budibicara salah digunakan adalah menjadi tugas Mahkamah untuk campurtangan. Mahkamah sahajalah satu-satunya pembela kepada kebebasan rakyat di atas mana-mana salah laku dan kerakusan kuasa jabatan. Budibicara yang tidak dikawal adalah satu istilah yang mengandungi percanggahan. Kuasa cenderung untuk merosakkan. Kuasa yang mutlak akan rosak juga secara mutlak.” )

Kata-kata diatas adalah satu kata-kata yang menakjubkan selagi mana roh kata-kata itu diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan.

Rakyat negara ini menerima institus Raja sebagai satu institusi yang dihormati. Raja adalah lambang kestabilan. Dalam konteks sejarah negara ini memang tiada siapa boleh menafikan institusi Raja adalah suatu kesinambungan dari satu sejarah yang amat panjang. Atas dasar itu peruntukkan mengenai institusi Raja diterima sebagai salah satu “indigenous elements ( elemen-elemen tradisi ) yang dimasukkan di dalam Perlembagaan sama ada Perlembagaan Persekutuan atau pun Perlembagaan Negeri-Negeri di Malaysia.

Bagaimanapun dalam masa yang sama semua orang juga mengakui ( termasuk para sultan di negara ini ) bahawa Malaysia mengamalkan institusi Raja Berperlembagaan ( Constitutional Monarchy ) bukannya institusi Raja Yang Berkuasa Mutlak ( Absolute Monarchy ). Tidak dinafikan secara relatifnya Raja Berperlembagaan adalah jauh lebik dari Raja Berkuasa Mutlak.

Namun dalam masa yang sama salah memahami atau salah menafsir konsep Raja Berperlembagaan boleh mewujudkan “constitutional anarchy” ( hura hara Perlembagaan )

Bagi mereka yang mempelajari undang-undang Perlembagaan mereka pasti mahir dengan istilah “convention” ( amalan ). Secara mudahnya “convention” di dalam konteks Undang-Undang Perlembagaan bermaksud amalan-amalan yang telah diterima pakai sebagai salah satu kaedah untuk menafsirkan peruntukkan Perlembagaan.

Menurut Geofrrey Marshall “ conventions” adalah apa yang kita namakan sebagi satu akhlak positif Perlembagaan ( positive morality of the Constitution ). “Conventions” menurut sarjana tersebut adalah satu peraturan yang mana para aktor-aktor politik wajib mematuhinya. Di dalam konteks apa yang berlaku di Perak , apakah “convention” yang patut dipatuhi oleh Y.M Sultan apabila MB Perak meminta baginda membubarkan DUN Perak ? Jawapannya “convention” yang terpakai adalah Y.M Sultan , dengan penuh hormat, sewajarnya membubarkan DUN apabila dengan secara munasabah diminta berbuat demikian oleh MB Perak iaitu Dato’ Seri Nizar Jamaluddin.Philip T.N Koh, salah seorang peguam Perlembagaan di dalam tulisannya “ constitutional conundrums and conventions “ ( The Edge , 23 Feb 2009 di m/s 55 ) menyatakan seperti berikut :-

“Adalah berfaedah untuk dicatatkan di sini berdasarkan amalan-amalan di negara Komenwealth boleh dikatakan tidak pernah berlaku keadaan di mana Governor ( di Malaysia Sultan ) menolak mana-mana permintaan yang munasabah ( untuk bubar dewan ) oleh Menteri Besar. Di United Kingdom, kini telah diterima dan diakui meskipun keistimewaan diberikan kepada Raja untuk membubar Parlimen namun perlaksanaannya bergantung , dalam keadaan biasa , kepada perkiraan dan keputusan Perdana Menteri.” .

Kini segalanya kembali semula kepada Y.M Sultan. Kalau baginda mahu terus melihat keadaan di Perak semakin terus lintang pukang dan haru biru , baginda boleh mengekalkan sahaja keputusan baginda. Namun jika baginda mahu keadaan Perak kembali aman dan damai maka baginda tidak mempunyai pilihan kecuali membubarkan DUN Perak dan mengembalikan kuasa memilih MB dan Kerajaan Perak yang baru kepada rakyat baginda sendiri. Dalam hal ini pilihan kedua nampaknya satu kemestian.

posted by hanipamaidin @ 2:39 AM 5 comments

Keterangan 2 : Mahkamah Rayuan Ketepikan Doktrin Raja Berpelembagaan

MAHKAMAH RAYUAN KETEPIKAN DOKTRIN RAJA BERPERLEMBAGAAN
oleh :Mohamed Hanipa Maidin

Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi awal Januari 2010, Najib Tun Razak yang baru pulang ke rumah rasminya di Putrajaya tiba-tiba dikejutkan dengan satu surat dari Duli Yang Mulia Yang DiPertuan Agung ( YDPA ) bahawa beliau dan Rosmah hendaklah mengosongkan rumah rasminya kerana YDPA telah melantik orang lain sebagai Perdana Menteri menggantikan beliau.

Alasan YDPA di dalam surat tersebut adalah ahli-ahli Dewan Rakyat khususnya dari Pakatan Rakyat ( PR ) dan beberapa ahli BN yang mula menyokong PR telah berjumpa YDPA di Istana dan menyatakan bahawa mereka tidak lagi yakin dengan Najib dan mahu orang lain sama ada Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang atau Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Surat YDPA juga menyatakan bahawa jika Najib tidak meletak jawatan beliau hendaklah dipecat dari jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Najib merengus marah manakala Rosmah berteriak macam orang yang kena histeria . Najib yang masih marah dan berang berkata : “ Macam mana Tuanku dengan sewenang-wenangnya memecat patik sedangkan Parlimen tidak mengadakan apa-apa sidang atau membawa apa-apa usul atau undi tidak percaya kepada patik. Patik tidak nampak mana –mana peruntukkan di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang member kuasa kepada Tuanku untuk memecat patik sebagai Perdana Menteri. Macam mana patik boleh dengan mudah dipecat dan sebagai ganti dilantik orang lain sebagai Perdana Menteri sedangkan tidak ada sebarang undi tidak percaya diluluskan di Parlimen ke atas patik”.

Keluhan Najib didengar dengan tenang oleh YDPA . YDPA dengan senyum berkata kepada Najib : “ Adakah tuan hamba sudah lupa bahawa pada 22 hb Mei 2009 iaitu pada hari Jumaat jam 3.30 petang di tingkat bawah Palace of Justice, Putrajaya tiga orang Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Yang Arif ( Y.A ) Dato Raus Sharif, Y.A Dato Ahmad Maarof dan Y.A Dato’ Zainon Ali telah sebulat suara memutuskan antara lain bahawa a. Seorang Menteri Besar ( di peringkat Negeri ) atau Perdana Menteri ( PM ) di peringkat Pusat secara tersirat boleh dipecat atau diminta letak jawatan jika Sultan atau YDPA memutuskan bahawa MB atau PM tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADUN atau Ahli-Ahli Parlimen.b. Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak atau Perkara 43 ( 4 ) Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut bahawa kaedah bagi menentukan bahawa seorang MB atau PM hilang keyakinan majoriti ADUN atau ahli-ahli Parlimen adalah melalui undi tidak percaya ( votes of no confidence ).c. Kes Stephen Kalong Ningkan ( 1966 ) iaitu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di Sarawak yang memutuskan bahawa Governor atau Sultan tidak ada kuasa memecat Ketua Menteri atau MB dan satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya tidak boleh lagi dipakai.

YDPA seterusnya menambah : “ Bukankah keputusan Mahkamah Rayuan tersebut yang tuan hamba inginkan bagi meraih keuntungan politik jangka pendek tuan hamba dan parti tuan hamba. Bukankah tuan hamba yang berkeras tidak mahu mendengar keluhan rakyat dan pemimpin partai komponen tuan hamba sendiri supaya krisis di Perak diselesaikan secara aman dan melalui amalan demokratik iaitu dengan kembali kepada rakyat melalui Pilihanraya semula di Perak. Maaf tuan hamba, Beta terikat dengan keputusan tersebut dan tidak boleh buat apa-apa .

Maka Beta dengan ini memerintahkan tuan hamba dan sekeluarga keluar dari rumah rasmi Perdana Menteri kerana tuan hamba bukan lagi Perdana Menteri Malaysia. "Najib tersentak dan lemah segala sendi manakala Rosmah pula terkaku dan jatuh pengsan. Tiba-tiba mereka sedar keputusan Mahkamah Rayuan hari ini kini telah makan diri. Jika keputusan yang paling wajar dan munasabah oleh Y.A Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Y.A Dato’ Aziz Abdul Rahim yang memutuskan bahawa satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya sekaligus mengekalkan doktrin Raja Berperlembagaan ( Constitutional Monarchy ) keputusan Mahkamah Rayuan pula ditafsirkan oleh ramai cendikiawan undang-undang telah melahirkan doktrin baru iaitu Raja Mutlak ( Absolute Monarchy ).

Jika Raja Berperlembagaan melahirkan kesejahteraan sudah tentu doktrin Raja Mutlak akan melahirkan suasana yang tidak menyenangkan.

Sketsa di atas adalah , bagi saya, cara terbaik untuk memahamkan para pembaca tentang kesan keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini.

Sebagai seorang anggota pasukan peguam Nizar, saya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. Tapi saya tidak pasti keputusan tersebut akan diterima dengan baik oleh rakyat khususnya rakyat di Perak. Dalam keadaan keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman masih belum pulih sepenuhnya sudah tentu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut tidak dapat lari dari cemuhan rakyat. Inilah masalahnya apabila sesebuah institusi dalam sebuah negara sudah hilang keabsahan ( legitimacy ). Di negara ini apabila BN memerintah terlalu lama dan keabsahan parti tersebut dipertikaikan turut sama terpalit adalah institusi keadilan seperti Mahkamah , Peguam Negara dan polis.

Apabila rakyat hilang keyakinan kepada sistem keadilan , maka sebarang keputusan Mahkamah apatah lagi keputusan seperti keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini sudah tentu tidak akan mudah diterima sebagai satu keputusan yang adil dan telus.

Sejak dari awal rakyat sudah nampak macam ada sesuatu yang tidak kena kepada cara kes rayuan Zambry dikendalikan. Zambry kalah di Mahkamah Tinggi pada 11/5/2009. Mahkamah Tinggi menolak permohonan Zambry bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman. Pada 12/5/2009 di sebelah pagi Zambry membuat permohonan bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman. Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh pendengaran permohonan Zambry pada pagi hari yang sama . Tarikh pendengaran yang diberikan dengan tergesa-gesa sudah tentu memprejudiskan Nizar dan pasukan peguamnya bagi membuat persiapan yang teliti dan mendalam. Pada tengah hari 12 hb Mei itu juga Y.A Hakim Dato Ramly membenarkan permohonan Zambry dan perintah diberikan tanpa sebarang syarat. Nizar membuat permohonan bagi membatalkan perintah penggantungan yang diberikan kepada Zambry. Mulanya permohonan Nizar ditetapkan pada 18/5/2009 tetapi kemudiannya ditangguhkan pada 21/5/2009 iaitu pada hari yang sama rayuan Zambry didengar. Sudah tentu permohonan Nizar tidak lagi relevan untuk didengar atau seperti yang sering dikatakan ianya menjadi akademik. 21 hb Mei rayuan Zambry didengar dengan hujah lisan dan bertulis dikemukakan oleh pihak –pihak secara mendalam . Mahkamah hanya ambil masa satu hari sahaja untuk putuskan. Memang hebat Mahkamah boleh buat keputusan dalam masa satu hari .Tetapi cuba kita bayangkan jika kita menghantar baju untuk dijahit dan tukang jahit siapkan baju kita dalam satu hari- saudara boleh bayangkanlah tahap kualiti baju tersebut .

Suatu yang amat mengharukan kami ( pasukan peguam Nizar ) adalah meskipun Nizar kalah namun sambutan rakyat kepada kami di Mahkamah Rayuan hari ini seolah-olah menunjukkan Nizar yang menang dan bukannnya Zambry.

Untuk rakan pasukan peguam Nizar iaitu Tuan Haji Sulaiman Abdullah, Philip Khoo, Ranjit Singh, Razlan Hadri, Nga Hock Cheh, Chan Kok Keong, Mr .Leong, Edmond Bon, Amir Arshad dan Zulkarnain Lokman ingatlah keputusan hari ini tidak akan mematahkan semangat kita sebaliknya ia memberi semangat baru kepada kita untuk terus berjuang menentang kezaliman dan menegakkan keadilan . Kita jumpa lagi di Mahkamah Persekutuan insya’Allah.

posted by hanipamaidin @ 7:50 AM 19 comments

Keterangan 1 : Sultan Tiada Kuasa Memecat Nizar

Monday, November 09, 2009

SULTAN TIADA KUASA MEMECAT NIZAR
OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

“ Tunjukkan mana-mana peruntukkan di dalam Perlembagaan Perak yang memberi kuasa kepada Y.M Sultan Perak untuk memecat Nizar sebagai Menteri Besar ( MB ) Perak yang sah”.

Itulah intipati hujah pasukan peguam Nizar semasa berhujah di Mahkamah Persekutuan , Putrajaya pada 5 November yang lalu.

Peguam Zambry dan Peguam Negara berhujah bahawa Zambry adalah MB yang sah kerana beliau telah dilantik oleh Y.M Sultan Perak di bawah Perkara 16 ( 2 ) Perlembagaan Negeri Perak.

Peguam Nizar pula berhujah sebelum Zambry boleh mendakwa dia adalah MB Perak yang sah beliau perlu membuktikan terlebih dahulu bahawa jawatan MB yang disandang oleh Nizar telah dikosongkan ataupun Nizar telah dipecat secara sah berdasarkan Perlembagaan Negeri Perak.

Sepertimana yang dikatakan oleh Harley CJ ( Borneo ) di dalam kes Stephen Kalang Ningkan v Tun Abang Haji Openg and Tawi Sli ( 1966 ) 2 MLJ 187 , terdapat dua keadaan di mana Governor ( atau Sultan ) mempunyai bidibicara iaitu

(a) dalam isu pelantikan MB dan
(b) enggan bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri ( DUN ) .

Harley CJ seterusnya berkata “ As regards to ( a ) , nobody could be so foolish to suggest that a Governor could appoint a second Chief Minister while there was still one in office..”

( Terjemahan : “Berkenaan ( a ) , tiada orang yang terlalu bodoh untuk mencadangkan bahawa Governor boleh melantik MB yang kedua jika MB yang pertama masih memegang jawatan tersebut.” )

Apa yang jelas sehingga 5 November 2009 Zambry masih tidak dapat membuktikan bahawa kerusi MB yang Nizar pegang telah dikosongkan atau Nizar telah dipecat secara sah oleh Sultan Perak. Peguam Zambry dan Peguam Negara berhujah bahawa memandangkan Nizar telah memohon secara betulis pada 5.2.2009 kepada Sultan bagi pembubaran DUN Perak di bawah Artikel 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak dan memandangkan Sultan enggan menggunakan budibicaranya untuk membubar DUN Perak maka Nizar dan barisan exconya hendaklah meletakkan jawatan berdasarkan peruntukkan itu.

Peguam Zambry dan Peguam Negara juga berhujah bahawa di dalam surat Nizar kepada Sultan bertarikh 5.2.2009 itu Nizar mengatakan jumlah kerusi BN dan PR adalah sama banyak iaitu masing-masing 28 kerusi kerana kerusi tiga ADUN yang melompat telah diisytiharkan kosong oleh Speaker.

Peguam Zambry dan Peguam Negara berhujah jika pun jumlah kerusi BN dan PR adalah sama iaitu 28 Nizar masih lagi tewas jika undi tidak percaya diadakan kerana kerusi PR sebanyak 28 itu termasuk kerusi speaker maka jika undian dibuat speaker tidak boleh mengundi maka PR hanya boleh dapat 27 undi sahaja.

Peguam Nizar menjawab sebelum Artikel 16 ( 6 ) hendak digunakan oleh Zambry mestilah terlebih dahulu dibuktikan bahawa Nizar telah kehilangan kepercayaan oleh Adun –Adun dan bagi menentukan hal tersebut perlu diadakah sidang dewan bagi para Adun membawa undi tidak percaya kepada Nizar.

Di dalam kes ini adalah jelas tiada sebarang undi tidak percaya telah diambil dari mana-mana sidang Dun. Oleh itu prasyarat Perkara 16 ( 6 ) tidak dipenuhi di dalam kes ini. Peguam Nizar juga berhujah bahawa berdasarkan sejarah negara ini undi tidak percaya yang dibuat di dalam sidang dewan pernah berlaku di dalam kes di Trengganu pada tahun 1961.

Pada tahun 1959, PAS berjaya membentuk Kerajaan di Trengganu dan MB yang dilantik adalah Y.B Daud Samad. Pada 26/10/1961 Ketua Penerangan Umno Tuan Syed Jaafar Albar telah mengumumkan bahawa Perikatan telah menjadi parti majoriti kerana 3 orang Adun PAS dan 3 orang Adun Parti Negara telah melompat menyertai Umno.

Pada 30/10/1961 undi tidak percaya dibuat di dalam Dun Trengganu ke atas MB , Daud Samad. Selepas undi tidak percaya Daud Samad telah meminta Sultan Trengganu membubarkan Dun Trengganu namun Sultan enggan berbuat demikian. Sultan kemudiannya melantik Ibrahim Fikri dari Perikatan sebagai MB yang baru.

Jelas Sultan hanya bertindak selepas undi tidak percaya dibuat di dalam sidang dewan.

Mengenai hujah Zambry bahawa Nizar masih lagi tewas jika undi tidak percaya diadakan kerana kerusi PR sebanyak 28 itu termasuk kerusi speaker dan memandangkan speaker tidak boleh mengundi maka Nizar akan kalah jika undi dibuat peguam Nizar menjawab seperti berikut :

Ya, benar speaker , Sivakumar tidak boleh mengundi tetapi jika benar-benar ada sidang Dun untuk diambil undi tidak percaya kepada Nizar apakah yang menghalang untuk Sivakumar meletak jawatan speaker dan menjadi ADUN biasa dan seterusnya mengundi. Tidakkah waktu itu kedudukan PR dan BN adalah 28 : 28. Sudah tentu jika BN terlalu bodoh melantik Adun mereka sebagai speaker sebagai ganti Sivakumar maka kerusi BN akan berkurang sebanyk 27 dan PR pula mempunyai 28 kerusi.

Peguam Nizar juga berhujah apabila Nizar enggan meletakkan jawatan adakah Sultan ada kuasa memecat beliau. Peguam Zambry dan Peguam Negara kata Sultan ada kuasa. . Peguam Nizar menjawab sila tunjukkan peruntukkan mana yang memberi kuasa itu.

Peguam Zambry kata meskipun tiada peruntukkan khusus Sultan dianggap mempunyai kuasa itu ( deemed to have such a power ).

Peguam Nizar menjawab mestilah ada satu peruntukkan anggapan ( deeming provision ) di dalam Perlembagaan Perak sebelum Sultan dianggap mempunyai kuasa itu. Sebagai contoh hujah peguam Nizar terdapat peruntukkan anggapan di bawah Perkara 19 ( 1 ) di Bahagian 2 Perlembagaan Perak bahawa Sultan dianggap telah mengosongkan jawatannya jika baginda tidak hadir dalam tempoh yang lama di dalam sidang Dewan Negara dan ketidakhadiran untuk tempoh yang lama itu tanpa alasan yang mencukui atau alasan yang munasabah.

Jelas sebelum jawatan Sultan itu boleh dinggap dikosongkan Perlembagaan Perak secara jelas memperuntukkan peruntukkan berkenaan anggapan tersebut. Hal yang sama tidak berlaku di dalam kes pengosongan jawatan MB. Tiada peruntukkan yang menyatakan bahawa jika MB enggan meletakkan jawatan kerusi MB dianggap telah kosong. Tanpa peruntukkan penting itu bagaimanakah Mahkamah boleh membuat anggapan sepertimana yang dihujahkan oleh Peguam Zambry dan Peguam Negara.

Peguam Nizar menyatakan Perlembagaan Perak dengan secara jelas menyatakan di dalam Perkara 16 ( 7 ) Perlembagaan Perak bahawa tidak seperti mana exco yang dilantik atas kerelaan Sultan ( at his pleasure ) jawatan MB tidak dipegang atas kerelaan Sultan.

Oleh itu tidak timbul Sultan boleh memecat Nizar sebagai MB Perak yang sah.

Hujah telah diberikan terpulanglah kepada lima orang Hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan.

Bagi 5 orang hakim itu saya ingin menukilkan nasihat Hakim Israel iaitu Ehud J yang menyatakan “ Apabila para hakim duduk untuk menghakimi, hakikatnya merekalah yang sedang dihakimi.” Ya, rakyat sedang menghakimi 5 orang hakim tersebut.

posted by hanipamaidin @ 8:23 PM 9 comments

Powered By Blogger

Bacaan Al-Quran

Listen to Quran