AWAS! BAHAYA SIS 11 : Kekeliruan hukum dan hukuman Islam.

on Selasa, 6 Oktober 2009

Abu Hakim,Terangganu.
Fri Aug 28, 09 10:18:15 am MYT

Isu hukum hudud ini saya rasakan bukan satu isu yang baru di dalam masyarakat Malaysia. Malah ia seringkali menjadi pertikaian dan perbahasan kepada masyarakat.

Saya begitu sedih terutamanya apabila melibatkan hukum-hukum tuhan seringkali semacam dipersenda oleh orang-orang Islam sendiri ekoran kejahilan mereka.

Malah adakalanya ramai dari kalangan orang-orang Islam sendiri berlagak seperti lebih mengerti dan mendabik dada menyatakan hukum islam ini merupakan undang-undang ketinggalan zaman (nauzubillah).

Jika orang-orang islam sendiri sudah tidak yakin dengan undang-undang atau hukuman yang ditetapkan oleh Pencipta, apatah lagi bagi orang-orang bukan islam. Malah mereka merasakan undang-undang islam ini kejam, keterlaluan dan pelbagai lagi tomahan dilemparkan.

Saya pernah berdiskusi dengan penganut agama lain berkenaan hukum-hukum islam yang dianggap zalim pada pandangan mereka seperti hukuman bagi orang yang mencuri, tetapi alhamdulillah setelah diberi penerangan serba sedikit, mereka bagaikan tidak mempunyai alasan kenapa undang-undang hudud tidak dapat dilaksanakan.

Tetapi malangnya, kenapa masih ramai orang-orang islam sendiri masih tidak yakin dengan ajaran agama mereka sendiri.

Pada hemat saya, kejahilan orang-orang Islam sendiri terhadap agama islam merupakan punca yang utama kenapa pelbagai isu-isu pokok di dalam agama seringkali dipertikaikan. Kurangnya pengetahuan, samada berpunca dari sistem pendidikan negara, ataupun kurangnya maklumat berkenaan sesuatu hukum yang terdapat di dalam agama Islam sendiri.

Jika dinilai dari sudut sistem pendidikan negara ada juga kebenarannya seolah-olah tidak memberi ruang yang secukupnya di dalam sistem pembelajaran di dalam mengenali islam.
Bagi individu yang mempunyai asas dalam pendidikan agama, mungkin tidak menjadi kesukaran di dalam memahami tafsiran sesuatu hukum itu, tetapi bagaimana pula dengan individu yang tidak pernah terlibat secara langsung di dalam memahami hukum islam?

Ulasan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkenaan kesalahan meminum arak, merupakan sebahagian kecil berita atau maklumat yang tepat yang perlu diketengahkan kepada masyarakat.

Ulasan-ulasan sedemikian juga perlu diperhalusi dalam satu sudut atau kolum yang khusus melalui media seperti Harakahdaily sendiri.

Saya rasakan, ramai yang begitu ahli dan mampu memberi tafsiran yang tepat bersedia memberi ulasan mereka bagi kepentingan ummah. Tafsiran yang tepat tentunya tidak terhad kepada kesalahan meminum arak sahaja, tetapi melibatkan segala bentuk pokok kepada hukum hakam yang seringkali menjadi kekeliruan kepada masyarakat seperti berjudi, mencuri, berzina dan sebagainya.

Tafsiran-tafsiran yang tepat berserta dalil-dalilnya, akan memberi impak yang sangat besar kepada masyarakat memahami undang islam itu sendiri tertutamanya berkenaan dengan hukum-hukum hudud yang sememangnya tidak kejam dan tidak zalim malah memberi kebaikan kepada masyarakat keseluruhannya. - mks.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Powered By Blogger

Bacaan Al-Quran

Listen to Quran